Dalam apa jua situasi, pihak yang dinamakan sebagai ‘musuh’ harus ditangani dengan penuh waspada, syak wasangka dan keraguan. Walaupun politik itu bersifat diplomasi tetapi apabila disebut ‘musuh politik’, maka ia wajib ditangani dengan cara yang sama iaitu dengan waspada, prasangka dan tidak percaya. Kita tidak boleh merujuk seseorang sebagai musuh tanpa memikirkan tipu muslihatnya setiap kali dia menyuarakan sesuatu. Ini kerana musuh akan sentiasa mencari kelemahan dan menggunakan kelemahan itu untuk menghuru-harakan kita.
Dalam konteks kerajaan UMNO, kita telah pun melihat bagaimana musuh mendesak agar dakwat kekal digunakan dalam pilihanraya yang mana akhirnya dakwat itulah yang dijadikan mereka sebagai modal untuk menyerang dan menghuru-harakan kita. Sebarang tindakan membela dakwat tersebut akan dihentam sebagai tidak telus dan penarikan balik pula akan memperlihatkan kelemahan di pihak kerajaan. Justeru, apa saja yang dibuat menjadi serba tidak kena atau huru-hara.
Kita juga sudah melihat bagaimana musuh mendesak agar ISA dihapuskan. Walaupun kita berusaha menahan asakan mereka tetapi, entah bagaimana mereka akhirnya berjaya melepaskan 1,300 banduan Simpang Renggam melalui desakan itu. Berikutan dengan itu, kadar jenayah semakin meningkat apabila pencegahan tidak dapat dilakukan. Kepala-kepala gangster yang dulunya dapat dikawal kini bermaharajela dan buktinya dapat dilihat di mana-mana sahaja dari kes-kes ragut, samun dan rompak yang begitu giat sehinggalah kewujudan pusat-pusat maksiat dan rumah-rumah urut yang tumbuh begitu rancak.
Maka, peningkatan kadar jenayah pun dijadikan modal oleh musuh untuk mengecam kerajaan dan pihak berkuasa. Bagi menanganinya, kerajaan mungkin boleh mengembalikan ISA, tetapi itu akan dilihat sebagai kelemahan dan sikap ‘flip-flop’ yang memalukan. Membiarkan sahaja keadaan seperti ini pula akan menyebabkan masyarakat semakin resah dan semakin menyalahkan kerajaan. Lalu, apa yang dilakukan juga menjadi serba tidak kena.
Masalah dan kesilapan sepatutnya memberi pengajaran dan mematangkan kita. Menghadapi kehidupan tanpa belajar apa-apa dari masalah dan kesilapan bukan sahaja satu kerugian tetapi mampu membawa kita ke arah kemusnahan.
Pengajaran dari isu dakwat kekal dan ISA ini ialah: setiap tuntutan dan desakan musuh itu adalah umpan untuk memerangkap kita di kemudian hari. Oleh yang demikian, kita harus lebih berhati-hati dengan sebarang desakan dan tuntutan mereka selepas ini.
Hari ini, kita melihat musuh-musuh kita semakin galak menyebar fitnah, penipuan, kebencian, menghina dan memperlekeh perlembagaan dan juga Raja-raja secara langsung. Langsung tiada kesetiaan atau kecintaan mereka kepada tonggak negara ini, malah yang terserlah hanyalah kebencian dan kebencian semata-mata.
Secara umumnya, mereka cukup tahu bahawa tindakan ini adalah salah mengikut undang-undang dan terlebih dahulu memikirkan cara untuk melepaskan diri. Kerana itu, sejak tahun lalu dan sebelumnya lagi mereka telah menjalankan kempen halus mendesak agar Akta Hasutan dihapuskan. Dari situ, pada Julai 2011, kepimpinan negara pun mengumumkan yang Akta Hasutan akan digantikan dengan Akta Keharmonian.
Semua ini sebenarnya adalah helah untuk memudahkan mereka menyebar fitnah dan menghasut rakyat agar memperlekeh Raja-raja. Lihatlah bagaimana mereka telah terlebih dahulu meminta kerajaan menyediakan jalan lama sebelum mereka melaluinya untuk menabur onar tanpa perlu takut pada undang-undang.
Ketegasan Ketua Polis Negara dan juga Menteri Dalam Negeri untuk mempertahankan Akta Hasutan mendapat pujian ramai. Jelas, kedua-dua mereka telah dapat membaca strategi musuh dan tidak mudah terpedaya.
Namun begitu, rakyat masih lagi resah dan tidak dapat mengelak dari meragui masa depan negara jika kerajaan terus menerus keliru antara ‘suara musuh’ dengan ‘suara rakyat’.
Hakikatnya, melihat ‘tuntutan musuh politik’ sebagai ‘tuntutan rakyat’ adalah satu kesilapan yang besar. Sebagai kerajaan, musuh politik tentu sekali tidak mewakili majoriti, tetapi hanya minoriti rakyat. Dan melutut kepada desakan minoriti merupakan satu cara pintas untuk membunuh diri dalam sebuah negara demokrasi.
Post a Comment