Seorang lelaki warga India yang dipercayai pengganas Sikh dari kumpulan Babbar Khalsa International (BKI), iaitu kumpulan militan yang terlibat dalam beberapa siri pengeboman di India berjaya diberkas di negara ini baru-baru ini.
Suspek yang diberkas di sebuah lokasi di Cheras kemudian diusir ke negara asalnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2 pagi ini.
Siasatan mendapati suspek, Satpal Singh Raghvir Singh, 41, berperanan membantu menyediakan dokumen palsu kepada beberapa ahli kumpulan itu untuk melarikan diri ke negara lain selepas terlibat dalam beberapa siri pengeboman di negaranya.
Pengarah Jabatan Petugas Khas (Operasi dan Anti Pengganas), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek ditahan dalam satu operasi di Cheras di sini baru-baru ini kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Katanya, suspek berjaya dikesan setelah pihaknya memperoleh maklumat hasil soal siasat terhadap ahli militan BKI yang ditangkap di sekitar ibu negara dan Selangor sebelum ini.
"Ahli kumpulan itu termasuk Satpal Singh memasuki Malaysia sejak 2006 bertujuan menjadikan negara ini sebagai pusat transit, mendapatkan dokumen palsu dan membuat perancangan awal operasi keganasan sebelum memasuki negara ketiga bagi melancarkan serangan keganasan.
"Satpal Singh dipercayai turut berperanan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada beberapa lagi anggota kumpulan BKI yang masih bersembunyi di negara ini," katanya di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, tangkapan pertama terhadap ahli kumpulan militan terbabit ialah pada 4 Ogos 2011 melibatkan tiga anggota BKI iaitu Daljit Singh Ajaib Singh Khalsa, Amarjit Singh Jasvir Singh dan Kawal Singh Soundh.
"Ketiga-tiga mereka kemudian diusir ke India pada 16 Ogos 2011. Sementara itu, pada 13 Mei 2013 seorang lagi anggota BKI turut ditangkap dan diusir iaitu Daljeet Singh Tarsem Singh. Kesemua mereka kini menunggu perbicaraan di India," ujarnya.
Mohamad Fuzi berkata, kejayaan ini adalah hasil perkongsian risikan antara pihak polis dengan agensi Penguat kuasa India.
Post a Comment