Home » » Sidang Dun Selangor : Titah Penuh Sultan Selangor - Hormati Perlembagaan Persekutuan & Undang Tubuh Negeri

Sidang Dun Selangor : Titah Penuh Sultan Selangor - Hormati Perlembagaan Persekutuan & Undang Tubuh Negeri

Written By Unknown on 28/06/2013 | 8:32 pm


Bismillahirarahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

(1) Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya sekali lagi Beta dapat berangkat ke Majlis Perasmian Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Ke- 13 pada pagi yang mulia ini.

(2) Dikesempatan ini Beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua wakil rakyat dan Beta berharap semua Yang Berhormat akan terus menjalankan amanah dan kepercayaan rakyat yang telah memilih Yang Berhormat sekalian. Di sini Beta juga berkenan supaya semua wakil rakyat dapat bekerjasama dengan kepimpinan Negeri Selangor ini yang diketuai oleh Memanda Beta Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim.

(3) Alhamdulillah Negeri Selangor yang kita kasihi ini masih di dalam keadaan aman dan makmur dan rakyatnya dapat terus menjalani kehidupan harian dengan bebas dan sejahtera. Oleh itu Beta menyeru supaya perpaduan yang terjalin di antara seluruh rakyat di negeri ini hendaklah terus dikekalkan dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

(4) Negeri Selangor mengamalkan sistem Demokrasi Berpalimen yang mana rakyat yang menentukan halatuju masyarakat dan negeri. Berjaya atau tidak pentadbiran Negeri Selangor ini bergantung kepada wakil rakyat dan pemimpinnya mentadbir dan memajukan negeri dengan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

(5) Beta menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik, (good governance) dalam semua pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan bagi pentadbiran Negeri Selangor. Ini termasuklah sistem integriti dan akauntabiliti yang sedia wujud dalam kepimpinan Negeri Selangor ini dan Beta berharap sistem ini hendaklah terus diamalkan.

(6) Beta telah difahamkan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang namun berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar sederhana bagi suku pertama tahun 2013. Selangor sebagai sebuah negeri yang mengamalkan ekonomi terbuka iaitu ekonomi yang terdedah kepada suasana pasaran dan pergolakan global, sudah tentulah rakyat Beta akan turut merasa bahangnya. Beta amat memandang serius terhadap permasalahan rakyat Beta terutamanya dalam usaha mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kebajikan.

(7) Sehubungan dengan itu, kerajaan Beta perlu memberi tumpuan lebih bagi memastikan prestasi ekonomi yang terus stabil, meningkatkan kualiti hidup rakyat Beta, memberi perubahan kepada pembangunan desa, modal insan dan pendidikan yang cemerlang serta kesihatan yang baik untuk rakyat Beta.

(8) Beta difahamkan ekonomi Selangor 2013 dianggar merekodkan prestasi yang sederhana dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5.6% setahun sehaluan dengan persekitaran ekonomi dunia dan Malaysia yang sederhana. Sektor perkhidmatan dijangka akan terus menjadi pemacu ekonomi Selangor dengan aktiviti berkaitan perdagangan serta pengukuhan kemasukan pelaburan, teknologi dan tenaga profesional meningkatkan sumbangan kepada KDNK negeri.

(9) Sebagai negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara dengan anggaran dua puluh dua peratus (22%), Selangor perlu memainkan peranan yang lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing, masuk ke dalam negeri. Jumlah pelaburan tahun 2012 dicatatkan sebanyak Ringgit Malaysia Sebelas Perpuluhan Tujuh Tiga Billion (RM11.73 billion) dengan Dua Ratus Lima Puluh Dua (252) projek berjaya dimajukan. Sehingga bulan Mac 2013, jumlah pelaburan yang terus mengalir masuk ke negeri Selangor mencecah Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Juta (RM700 juta). Usaha perlu digiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelabur ke melabur di negeri Selangor. Usaha-usaha ini perlulah juga ditumpukan kepada industri berteknologi tinggi, industri yang mengamalkan teknologi hijau supaya alam dan persekitaran negeri Selangor terhindar daripada pencemaran.

(10) Beta berkeyakinan bahawa sektor perkhidmatan akan terus berperanan besar dalam menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri. Sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK negeri sebanyak lima puluh enam peratus (56%) telah membuktikan sektor ini akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi sebuah negeri maju. Beta berharap prestasi ini dapat dipertingkat dan diterjemahkan terhadap pembangunan menyeluruh kepada rakyat Beta. Beta berharap angka ini perlu dipantau dan disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi ekonomi negeri berada pada landasan yang betul dan realistik. Beta ingin memastikan Negeri Selangor terus maju dan kemakmuran terus dikecapi oleh rakyat Beta. Justeru itu, marilah kita bersama-sama bersatu padu dan berdiri teguh dalam usaha menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran yang bakal mendatang agar berhasil membawa kesejahteraan dan kebajikan kepada seluruh rakyat.

(11) Beta bersyukur, dengan izin Allah, Selangor berjaya mengekalkan momentum sebagai negeri pemacu ekonomi negara. Beta yakin bahawa kejayaan ini adalah manifestasi kepada kejayaan serta usaha gigih dan kerjasama erat antara Kerajaan dan rakyat. Sehubungan dengan itu, usaha dan tindakan untuk mengagihkan hasil pembangunan dan limpahan rezeki kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala di bumi Selangor ini hendaklah terus dilakukan secara adil dan saksama.

(12) Kerajaan juga bertanggungjawab untuk menjaga keperluan rakyat dan memastikan masalah yang mereka hadapi dapat diselesaikan. Kerajaan perlu menyusun strategi memacu pertumbuhan ekonomi dengan matlamat ekonomi yang makmur dan efisyen, membantu rakyat menghadapi ekonomi yang semakin mencabar.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian

(13) Beta sedia maklum bahawa sejak pertengahan 2008 yang lalu, Kerajaan telah bekerjasama dan berusaha melaksanakan pelbagai skim bagi membantu rakyat. Bantuan-bantuan yang diberi kepada rakyat yang miskin dan yang memerlukan telah memberikan manfaat di dalam kehidupan harian mereka. Pihak Kerajaan telah menyediakan peruntukan dengan matlamat supaya kekayaan Negeri Selangor ini di kongsi dan di agihkan seadil-adilnya kepada rakyat Beta melalui dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” atau lebih popular dengan singkatan MES.

(14) Beta maklum bahawa melalui program-program yang telah dirangka melalui Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor ini telah membelanjakan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Lapan Ratus Lima Puluh Enam juta ( RM 856,000,000.00). Beta percaya dengan jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan sejak tahun 2008 hingga bulan Februari 2013, rakyat Beta telah mendapat manfaat hasil kekayaan negeri Selangor ini. Beta juga diberi maklum bahawa pelaksanaan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor dimulakan pada tahun 2008 yang lalu, dasar ini telah berjaya melaksanakan Dua Puluh Sembilan (29) program dan projek yang merangkumi yang merangkumi menaik taraf pentadbiran Kerajaan Negeri, program penyediaan jaringan sosial dan memelihara kebajikan rakyat , program menyediakan bantuan kesihatan, program sokongan ekonomi dan program pengutamaan keselamatan kepada rakyat.

(15) Beta faham bahawa program dan projek yang telah dirangka ini adalah manifestasi daripada janji-janji yang telah ditawarkan kepada rakyat Beta. Beta mahu supaya kejayaan melaksanakan program dan projek yang telah dirangka melalui dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor ini diteruskan dan diperluaskan lagi skop pelaksanaannya. Dasar ini telah memberikan kebaikan dalam usaha meningkatkan kebajikan kepada rakyat. Beta berharap usaha ini akan membantu meringankan beban rakyat dan mengurangkan perbezaan pendapatan di kalangan rakyat. Pada masa yang sama, Beta ingin melihat rakyat terlibat aktif dalam semua aktiviti ekonomi. Dengan cara ini, kemakmuran ekonomi di negeri Selangor akan dapat dikecapi oleh rakyat keseluruhannya.

(16) Beta juga suka untuk mengingatkan Kerajaan bahawa demi kebajikan negeri dan rakyat Kerajaan Negeri Selangor perlu mengutip hasil yang secukupnya dan menyimpan rizab yang sewajarnya untuk kegunaan semasa kecemasan. Beta telah difahamkan bahawa pentadbiran negeri telah dapat meningkatkan simpanan rezab negeri kepada Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Lapan Billion (RM2.8 billion) sehingga bulan April 2013. Beta yakin perkara ini adalah disebabkan proses dan usaha pengutipan hasil telah dilaksanakan dengan cekap. Kecekapan ini perlulah diteruskan dan ditambahbaik pada masa hadapan. Kecekapan ini perlulah disebarluaskan kepada semua agensi Kerajaan terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan supaya usaha pengutipan hasil sedia ada dan tertunggak dapat dikutip yang akhirnya akan memberi semula kebaikan kepada rakyat.

(17) Bagi tujuan kebajikan rakyat Beta juga, Kerajaan perlu menyediakan peruntukan secukupnya untuk tujuan infrastruktur. Perbelanjaan untuk infrastruktur perlu diberi keutamaan secara berterusan bagi memastikan kualiti kemudahan awam sentiasa dalam keadaan yang baik. Selain daripada infrastruktur asas seperti jalan dan penggunaan air, Kerajaan juga harus memberikan tumpuan kepada infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi khususnya kemudahan internet.

Pelaburan di dalam teknologi jalur lebar seperti ini akan mendatangkan manfaat keilmuan serta manfaat ekonomi kepada rakyat. Peluang untuk meningkatkan pendapatan melalui kemudahan pemasaran produk serta kemahiran akan terbuka luas untuk dinikmati oleh rakyat. Usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan bagi menyediakan kemudahan internet berkelajuan tinggi perlulah diperluaskan lagi. Beta percaya bahawa pelaksanaan program seperti ini akan dapat mencergaskan lagi usaha untuk merakyatkan ekonomi dan merakyatkan ilmu di negeri Selangor ini.

(18) Beta juga berpandangan bahawa satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan adalah pelaburan di dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan kesihatan. Pelaburan yang telah dilaksanakan dalam bidang ini adalah usaha wajar dan pintar Kerajaan dalam mempersiapkan negeri pada masa hadapan. Perhatian dan galakan Kerajaan dalam hal ini akan mendorong penemuan dan inovasi yang akan mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

(19) Satu lagi aspek yang tidak kurang pentingnya adalah tumpuan usaha-usaha meningkatkan mutu dan produktiviti pertanian. Ini termasuklah tanaman makanan, perikanan dan penternakan. Peningkatan produktiviti akan dapat menambah pengeluaran hasil pertanian dan sekali gus mendorong kepada penurunan harga.

(20) Beta berharap sektor pertanian akan terus diperkasakan dengan konsep pertanian moden walaupun sektor ini hanya menyumbang pertumbuhan sebanyak satu perpuluhan dua (1.2%) pada tahun 2012 dan merupakan penyumbang terkecil KDNK negeri. Namun Beta percaya fungsi dan peranan sektor pertanian di Selangor amat penting sebagai penyedia sumber makanan dan sumber bahan mentah kepada perusahaan asas tani serta sumber pendapatan golongan petani khususnya di kawasan luar bandar.

(21) Selain program bantuan untuk golongan petani, penternak dan nelayan, keluarga pekerja ladang juga tidak diabaikan. Selama ini anak-anak pekerja ladang di seluruh Selangor sering ketinggalan dan diabaikan pelajarannya, maka tabung pendidikan anak-anak pekerja ladang turut diwujudkan. Beta amat gembira dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam menangani masyarakat pekerja ladang.

(22) Keprihatinan Kerajaan ini hendaklah juga merangkumi masyarakat orang asal serta masyarakat Orang Kelainan Upaya (OKU). Beta ingin melihat masyarakat orang asli dan OKU ini terus dibela dalam segala aspek kehidupan supaya mereka boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan semua rakyat di Selangor.

(23) Sebagai Ketua Agama Negeri, Beta mahu pentadbiran Kerajaan memberikan perhatian serius terhadap usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam. Bagi memajukan umat, bidang pendidikan dan ekonomi mesti menjadi keutamaan. Kekuatan dalam dua bidang ini adalah benteng sebenar mempertahankan akidah dan maruah umat Islam. Beta yakin Kerajaan akan turut bersama dalam memartabatkan lagi Agama Islam dan umat Islam di negeri ini. Cara kerja yang profesional tentunya akan dapat menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekali gus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai addin. Perhatian serius kepada usaha memajukan umat Islam ini tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan atau meminggirkan rakyat Beta yang lain. Malah kemajuan umat Islam selaku golongan majoriti di negeri ini mampu memberikan kesan positif kepada negeri dan rakyat.

(24) Beta berpandangan bahawa rakyat Beta sentiasa meletakkan harapan yang tinggi kepada Pihak Berkuasa Tempatan selaku jentera pelaksana utama bagi melaksanakan dan mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.  Beta mengharapkan pembangunan dan perkhidmatan perbandaran akan terus efisien dan mampan di samping pembangunan ekonomi bandar yang kukuh, dinamik dan berdaya saing. Penyediaan perkhidmatan bandar, infrastruktur dan utiliti yang berkualiti perlu disediakan serta mewujudkan persekitaran kehidupan bandar yang sejahtera dan beridentiti.

(25) Dalam hal ini, Beta menasihatkan supaya Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor, terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab asasnya iaitu dengan menyediakan kemudahan jalan dan longkang yang sempurna, perbandaran yang bersih dan indah, pengurusan sampah yang cekap, pemotongan rumput dijalankan secara berjadual serta lampu-lampu jalan yang sentiasa berfungsi. PBT perlulah pantas mengambil tindakan terhadap aduan-aduan yang diterima dan sentiasa bersikap inovatif dan proaktif dalam melaksanakan sebarang perubahan dan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatannya.

(26) Beta sedar bahawa sektor perniagaan lazimnya bertumpu pada kawasan yang sedia berkembang. Justeru itu, Kerajaan perlu merintis jalan untuk menggalakkan kemajuan di daerah-daerah atau kampung-kampung dengan menggunakan aset dan tenaga penduduk yang tinggal di kawasan setempat. Demi kepentingan masa hadapan, perancangan diperlukan untuk merakyatkan kemajuan ke setiap daerah dan pelosok negeri dengan seimbang dan berterusan. Ini bermakna, apabila pembangunan berkembang ke daerah-daerah luar bandar, anak-anak muda tidak perlu lagi mencari pekerjaan di bandar. Keadaan ini akan melegakan tekanan terhadap perbandaran, kos kehidupan, sistem pengangkutan dan prasarana bandar yang lain.

(27) Beta berpandangan bahawa Kerajaan perlulah memikirkan konsep pembangunan bagi kawasan desa yang mempunyai matlamat untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung, mewujudkan nilai keempunyaan atau ownership pada setiap projek atau program yang akan diperkenalkan. Ini bermakna pembangunan desa mestilah dilaksanakan dengan konsep pembangunan yang bersepadu dan mampan. Konsep ini melibatkan penglibatan daripada agensi Kerajaan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Pertanian yang bertanggungjawab menjadi penyelia pelaksanaan projek, Institusi kewangan bagi membantu merangka bantuan kewangan dan lain-lain agensi yang berkaitan.

(28) Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan ini, Beta juga ingin menyeru kepada semua pihak khususnya rakyat Beta di Selangor agar menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Undang-Undang Negara serta akur kepada setiap peruntukan yang telah sedia termaktub di bawah undang-undang berkenaan. Janganlah hendaknya ada pihak yang menyalah tafsir peruntukan undang-undang tersebut ke arah kepentingan dan manfaat sesuatu golongan tertentu sahaja. Kita perlu sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Undang-Undang Negara ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing. Beta yakin kita semua akan terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup sekiranya sikap hormat-menghormati antara kaum dan mematuhi undang-undang dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.




(29) Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekelian, sebagai Ahli Dewan Negeri yang mulia ini hendaklah mematuhi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri semasa bersidang supaya perjalanan sidang Dewan Negeri berjalan dengan teratur dan sempurna, serta dengan penuh rasa hormat-menghormati antara satu dengan lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing. Ini adalah kerana, matlamat setiap ahli Dewan Negeri adalah sama iaitu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik demi kebajikan rakyat dan negeri.

(30) Sebagai ahli Dewan Negeri bagi Negeri Selangor yang merupakan sebuah negeri maju dan bertamadun, apa jua tindakan dan perlakuan ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa menarik perhatian umum. Oleh yang demikian, ahli-ahli Yang Berhormat seharusnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap tindakan dan perlakuan ahli-ahli Yang Berhormat agar ianya menjadi contoh kepada masyarakat umum dan mencerminkan ketamadunan dan kemajuan Negeri ini.

(31) Keputusan-keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli Yang Berhormat juga hendaklah disampaikan secara telus kepada rakyat supaya rakyat dapat memahami rasional di sebalik keputusan tersebut.

(32) Beta menaruh harapan agar ahli-ahli Yang Berhormat dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negeri yang kita cintai ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat juga hendaklah sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan memastikan segala tindakan dan keputusan yang diambil adalah tidak bercanggah dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan undang-undang lain yang berkuatkuasa.

(33) Beta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam termasuk angkatan tentera, polis dan bomba yang telah berusaha siang dan malam bagi menjamin kemajuan, kemakmuran dan keselamatan rakyat di negeri yang dikasihi ini. Ucapan Tahniah dan Selamat Maju Jaya Beta tujukan kepada Memanda Beta, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim, dalam usaha memandu kerajaan Beta serta semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri. Sebagai Raja Pemerintah Negeri, Beta memberi titah nasihat kepada Memanda Beta, Dato’ Menteri Besar supaya bertugas dengan lebih tekun, gigih dan terus berusaha mempertahankan Negeri Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia dan sentiasa di hadapan sepanjang masa.

(34) Akhirnya, Beta berdoa semoga Negeri Selangor dan seluruh rakyat Beta terus mendapat perlindungan Allah dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya supaya rakyat Beta yang berbilang kaum bersama berusaha menjamin keamanan dan kemakmuran yang dapat diwariskan kepada anak-anak dari generasi ke generasi. Beta turut berharap semua perancangan yang direncanakan dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam memastikan matlamat Selangor sebagai Negeri Idaman, Maju, Sejahtera Dan Berkebajikan, tercapai.

“Ahli-Ahli Yang Berhormat, Beta Mengucapkan Selamat Bersidang Di Dewan Yang Mulia Ini”.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger