KUALA LUMPUR 12 Jun - Pengerusi Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof (gambar) menegaskan
barisan kepemimpinan suruhanjaya itu tidak akan meletak jawatan hanya
kerana didesak sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan proses
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Menurutnya, barisan kepemimpinan SPR yang terdiri daripada beliau,
timbalannya dan lima anggota jawatankuasa suruhanjaya itu, dilantik
mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja
sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Peletakan jawatan barisan kepimpinan SPR yang merupakan sebuah badan
bebas, tidak boleh dibuat secara tidak rela atau paksaan seperti yang
didesak oleh sebuah kumpulan.
"Ia hanya boleh dibuat melalui undang-undang," katanya kepada
pemberita selepas ditemu ramah stesen Radio Nasional FM di Angkasapuri
di sini hari ini.
Beliau berkata, hanya Yang di-Pertuan Agong berhak mengeluarkan
arahan kepada barisan kepemimpinan SPR untuk meletak jawatan jika
terbukti mereka melanggar peraturan dan undang-undang di bawah
Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau kami melanggar undang-undang, cara yang baik adalah melalui
petisyen dan berjumpa di mahkamah... buktikan dahulu kami melakukan
perkara tersebut dan kita sama-sama lihat," katanya.
Abdul Aziz berkata, barisan kepimpinan SPR hanya boleh dilucutkan
jawatan disebabkan bankrap, memegang jawatan lain dengan mendapat
pendapatan, menjadi wakil rakyat, atau sebab-sebab lain seperti jenayah
dan masalah mental seperti gila.
"Maknanya atas sebab kepercayaan awam tidak ada lagi ataupun
melanggar peraturan Perlembagaan Persekutuan, dan ia boleh dilakukan
melalui penubuhan tribunal," katanya.
Beliau juga berkata, tindakan pembangkang mengheret rakyat untuk
berhimpun kerana tidak puas hati dengan proses pilihan raya umum lepas
tidak akan mengubah keputusan pilihan raya itu.
"Buktikan melalui undang-undang... jangan kita mengeluarkan kenyataan
yang mengelirukan orang lain, persepsi mereka yang keluar perhimpunan
seolah-olah mereka percaya SPR menipu," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, SPR akan tetap meneruskan kajian
semula persempadanan pilihan raya menjelang akhir tahun ini dan ia akan
dilaksanakan dengan telus.
Proses persempadanan semula yang terakhir dilakukan pada 2003 dan
sepatutnya dibuat semula pada 2011, tetapi SPR telah menangguhkannya
sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 selesai, katanya.
"Peguam Negara telah menasihati SPR untuk memulakan segera kajian semula persempadanan ini," katanya.
Beliau berkata, di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 113
(2)(ii), persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dibuat dalam
tempoh tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak lebih daripada 10
tahun daripada siapnya kajian sebelumnya.
Katanya, SPR diberi tempoh maksimum dua tahun untuk melengkapkan
kajian dan kajian persempadanan itu terlebih dahulu akan dipamerkan
kepada orang ramai sebelum dibawa ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) untuk dibahas dan dilulus - BERNAMA
Mampukah UMNO Memujuk Ahlinya Sekiranya Gagal Bersolidariti Pada 6 Januari
-
Mampukah UMNO Memujuk Ahlinya Sekiranya Gagal Bersolidariti Pada 6 Januari
Parti UMNO adalah sebuah wadah perjuangan. Itulah yang sering dikatakan
oleh...
1 week ago
Post a Comment