Timbalan Presidennya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, walaupun usaha kerajaan melibatkan unit Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu adalah untuk membantu menyelesaikan masalah kenaikan harga barang, namun ianya dilihat tidak akan berkesan.
Menurutnya, kementerian berkaitan dan pemimpin akar umbi adalah individu paling layak untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku di samping kesedaran pengguna sendiri untuk mengambil tindakan supaya tidak tertipu.
"Saya rasa penglibatan polis untuk turut sama pantau harga barang ini tidak perlu, kita tak perlu bebankan mereka kerana mereka ada tugas yang lebih besar.
"Cukup sekadar pemimpin di peringkat akar umbi termasuk ketua kampung, penghulu, pejabat daerah, majlis kerajaan tempatan, KPDNKK dan NGO, namun pengguna juga perlu mempunyai pengetahuan mengenai harga barang yang sebenar dan mengambil tindakan memboikot.
"Apa yang penting lebih baik kita perkasakan institusi sedia ada yang berkelayakan menangani perkara itu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Semalam, media melaporkan PDRM akan membantu KPDNKK memantau harga barang keperluan khususnya makanan di pasar borong dan premis perniagaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, PDRM akan membantu menangani tindakan peruncit dan pemborong yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
"Kita tidak akan menghantar pasukan berpakaian seragam untuk memantau tetapi anggota (polis) yang berpakaian biasa dan berlakon sebagai pelanggan untuk memantau harga barang dan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang kita ada," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Shaani juga berkata, berdasarkan pengalaman yang ada dalam usaha untuk menangani harga barang itu menunjukkan tiada tindakkan yang meyakinkan dilakukan walaupun ramai pihak yang dikerahkan kerajaan untuk melakukan pemantauan.
"Apa yang boleh dilakukan? Kalau boleh ambil tindakkan pun terhadap harga barangan kawalan, tapi sekarang barangan kawalan pun sudah tidak banyak.
"Ini lagi satu kenyataan kerajaan yang mengelirukan rakyat, semua nak (agensi) nak ambil tindakan, apa tindakan yang diambil untuk masalah itu?
"Kami sudah empat puluh tahun berdepan dengan perkara itu, kami tahu tak ada undang-undang untuk dikenakan untuk isu kenaikan harga barang, kecuali terlalu tinggi," jelasnya. (sinar)
Post a Comment