Home » » Model Tugu Negara Masih Hidup

Model Tugu Negara Masih Hidup

Written By Unknown on 13/09/2014 | 10:37 am

MOHD. Noor Daud (berdiri, dua dari kiri) beramah mesra dengan (duduk, dari kiri) Zainal Buyong, Mohd. Sabri Bedollah dan Kholib Che Nan dalam majlis penyerahan bantuan Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia NBOS kepada veteran ATM Pahang di Raub, kelmarin.

RAUB 12 Sept. - Setelah sekian lama mendiami rumah serba uzur, seorang pesara tentera yang pernah menjadi model Tugu Negara, Zainal Buyong, 81, kini mampu menarik nafas lega apabila berpeluang tinggal di kediaman baharu yang jauh lebih selesa hasil sumbangan kerajaan.

Pembinaan rumah baharu membabitkan kos RM45,000 itu diselenggarakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV-ATM) menerusi Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Majlis penyerahan kunci rumah kepada Zainal bersama dua lagi pesara tentera dari sekitar daerah ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah JHEV-ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud di sini semalam.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Zainal yang tinggal di Kampung Kuala Atok di sini berkata, pemberian rumah baharu yang mempunyai tiga bilik itu amat bermakna kerana memberikan keselesaan kepadanya sekeluarga.

Beliau yang menjadi model memegang bendera Malaysia di Tugu Negara berkata, tanpa sumbangan ini dia yang hanya mengharapkan kepada kerja kampung dan bantuan kebajikan sudah tentu tidak akan dapat membina sebuah rumah.

"Saya cukup bersyukur kerana rumah ini amat selesa berbanding rumah lama yang uzur sehingga kami terpaksa mencari tempat berlindung sekiranya hujan. Dinding dan kayu rumah dahulu juga telah dimakan anai-anai sehingga hampir roboh ditimpa dahan durian tahun lalu.

"Justeru pemberian rumah kepada saya ini membuktikan keprihatinan kerajaan khususnya JHEV-ATM yang sentiasa menghulurkan bantuan termasuklah sara hidup dan perubatan," katanya.

Mengenai kisahnya menjadi model Tugu Negara, Zainal berkata, peristiwa itu berlaku ketika berkhidmat di sebuah kem di ibu negara pada tahun 1958 setelah diarahkan oleh pegawai bertugas.

"Arahan ini berikutan permintaan pengukir dari Austria yang mahukan askar sebenar sebagai panduan dalam membuat ukiran Tugu Negara.

"Maka saya bersama empat lain membuat aksi seperti mana kelihatan pada Tugu Negara dengan yang berdiri di tengah sambil memegang bendera adalah 'saya'," jelasnya sambil tersenyum mengingati peristiwa lebih separuh abad itu.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Mohd. Sabri Bedollah, 54, yang tinggal di Kampung Paya Keladan, Temerloh berkata, pemberian bantuan rumah berkenaan telah memenuhi impiannya untuk mempunyai rumah sendiri sejak sekian lama.

Dia yang berkhidmat sebagai tentera dari 1980 hingga 1998 berkata, selama ini dia hanya mampu tinggal di rumah sewa dan tidak pernah termimpi untuk mendapat rumah sendiri.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah melupakan kami. Ini adalah hadiah paling bermakna dalam hidup saya sebagai seorang veteran tentera," katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Seorang lagi penerima, Kholib Che Nan, 58, berkata, pemberian rumah berkenaan merupakan satu anugerah bermakna kepadanya sekeluarga selepas rumah yang didiaminya sebelum ini di Kampung Kuala Lurah, Bentong musnah dalam kebakaran.

Dia yang berkhidmat sebagai tentera dari 1977 hingga 1992 berkata, pembinaan rumah baharu yang dilakukan pihak JHEV memberi harapan baharu kepadanya sekeluarga.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger