10/09/2014

Jangan Tunduk Desakan Pemansuhan Akta Hasutan 1948



Kerajaan tidak ada sebab untuk tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang mahu Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Fasilitator Gerakan Warganegara mempertahankan Akta Hasutan 1948, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, ia juga tidak perlu diganti malah hukuman kepada pesalah harus dijadikan makin berat.

"Apa yang diperlukan adalah menaikkan lagi jumlah denda dan tempoh penjara bagi penghasut tegar dalam negara ini.

"Ia termasuk mengenakan hukuman mati mandatori terhadap penghasut yang disabitkan kesalahan buat kali ketiga," katanya ketika sidang media majlis perasmian Gerakan Warganegara mempertahankan Akta Hasutan 1948 di sini hari ini.

Gerakan Warganegara mempertahankan Akta Hasutan 1948 dilancarkan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Akta Hasutan 1948 sebelum ini telah dipinda sebanyak lima kali dah pindaan terakhirnya adalah pada tahun 1975.

Akta ini melalui seksyen 4(1) memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan yang kemudian, hukuman itu dinaikkan kepada penjara maksimum lima tahun.

Ujar Mohd Khairul lagi, gerakan itu akan membuat siri jelajah ke seluruh negara bagi mengumpul sasaran satu juta tandatangan untuk petisyen yang akan dihantar ke Yang di-Pertuan Agong dan salinannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami menyasarkan minimum satu juta petisyen warganegara secara maya dan fizikal yang menyokong Akta Hasutan 1948. Kami juga akan bekerjasama dengan seberapa banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan sosial yang berkongsi aspirasi menjaga keamanan dan keharmonian negara," ujarnya.

Dalam pada itu, Musa berkata, parti-parti politik kini lebih banyak dilihat melakukan hasutan kepada orang ramai.

"Ia merosakkan keamanan dan akta ini harus dipinda sahaja supaya ia sesuai dengan peredaran zaman sekarang," jelasnya.

Musa turut melepaskan tiga ekor burung merpati sebagai gimik pelancaran Gerakan Warganegara mempertahankan Akta Hasutan 1948.




Musa melepaskan tiga ekor burung sebagai gimik pelancaran Gerakan Warganegara mempertahankan Akta Hasutan 1948 - Gambar Astro AWANI


astroawani

No comments:

Post a Comment