Penduduk berkenaan menunjukkan lokasi warga emas dan wanita OKU tersebut ditemui
SEGAMAT - Seorang warga emas berusia 70 tahun ditemui dalam keadaan bogel bersama seorang wanita orang kurang upaya (OKU) lembam oleh penduduk kampung di sebuah belukar di daerah ini, petang kelmarin.
Penduduk tersebut memberitahu, dia dihubungi jirannya yang juga isteri warga emas berkenaan meminta tolong mencari suaminya di sekitar padang bola kampung berhampiran, kira-kira jam 2.15 petang.
Menurutnya, bimbang kejadian tidak diingini berlaku, dia segera ke lokasi dinyatakan dan melihat motosikal suami jirannya ada di sana.
“Saya berpatah balik untuk ke rumah jiran saya itu bagi memaklumkan hal berkenaan kepadanya, tetapi saya diminta pula mencari suaminya di dalam belukar di sebelah padang itu.
“Jiran saya bimbang kerana suaminya masuk ke kawasan itu bersama seorang wanita lembam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Jelasnya, sebagai langkah keselamatan, dia mengajak seorang rakan menemaninya ke belukar berkenaan.
Menurutnya, sebaik sampai di belukar itu, mereka nampak warga emas dan wanita lembam tersebut dalam keadaan tanpa seurat benang dan suami jirannya itu sempat membuang objek dipercayai kondom.
“Saya kemudian menyuruh mereka memakai baju dan membawa wanita lembam itu keluar dari belukar berkenaan,” katanya.
Penduduk berkenaan berkata, wanita lembam itu yang dalam ketakutan menjerit memarahi warga emas tersebut dan mendakwa dia sering mengajaknya melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Tambahnya lagi, jirannya turut memberitahu pernah menangkap warga emas dan wanita lembam itu dalam stor rumah mereka dan menasihati suaminya supaya meninggalkan perbuatan terkutuk tersebut, namun tidak diendahkan sebaliknya dia dipukul lelaki itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M Anuar Ismail, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan satu tangkapan telah dibuat, petang kelmarin.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan akan didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Mangsa juga telah dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Sinarharian
No comments:
Post a Comment