Itu yang dimaklumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu.
Beliau percaya bahagian mayat yang masih belum ditemui masih berselerakan di sekitar kawasan nahas.
“Bahagian mayat itu bertaburan di sekitar kawasan seluas 15 kilometer persegi, banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Kita benar-benar berharap dapat sampai di lokasi kejadian dan memohon bantuan penduduk tempatan untuk mengenalpasti di mana bahagian mayat yang belum ditemui berada,” katanya kepada Astro AWANI dalam satu wawancara eksklusif dari Kiev.
Meskipun yakin dengan hasil siasatan yang dijalankan dengan bantuan pakar, Khalid berkata beliau tidak tahu selama namakah siasatan akan dapat dilengkapkan.
Katanya adalah cukup dikesali pasukan penyiasat tidak dapat tiba seawal mungkin di lokasi berikutan situasi keselamatan dan prosedur sedia ada.
“Setiap negara ada undang-undang dan sistem masing-masing. Kita tiada pilihan. Kita harus menghormati undang-undang dan sistem yang ada di setiap negara yang terlibat,” katanya.
Khalid turut mengakui kawasan nahas telah terbiar untuk satu tempoh yang lama dan ada kemungkinan bahan bukti telah diubah.
Walau bagaimanapun, pasukan penyiasat harus terus ke lokasi dengan segera dan menyiasat apa sahaja sisa nahas yang masih ada, tambahnya.
Pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang sedang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah pro Rusia di Donetsk ke Timur Ukraine ketika dalam perjalanan daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.
No comments:
Post a Comment