24/08/2014

MH17 : 3 Jenazah Selamat Kembali, 1 Jenazah Keluarga Minta Tidak Dedahkan


Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH19 yang membawa tiga lagi jenazah mangsa nahas MH17 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Schiphol, Amsterdam pada pukul 6.53 pagi tadi.

Dua daripada tiga jenazah tersebut kemudian dibawa ke Kompleks Bunga Raya untuk diberi penghormatan menerusi Istiadat Penghormatan Jenazah Warga Malaysia MH17 yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan orang kenamaan.

Dua jenazah tersebut ialah Allahyarham Mohd. Ghafar Abu Bakar dan mendiang Ng Shi Ing.

Sebanyak 190 anggota tentera dari 12 Briged Infantri terlibat dalam istiadat itu hari ini.

Kelmarin, 20 jenazah mangsa MH17 tiba di tanah air dan telah diberikan penghormatan yang sama membabitkan 450 anggota tentera yang ditugaskan untuk menurun dan mengusung jenazah.

Pesawat MAS MH17 terhempas di Wilayah Donetsk, Ukraine dipercayai selepas ditembak dengan peluru berpandu pada 17 Julai lalu.

Sementara itu, identiti jenazah ketiga tidak didedahkan atas permintaan pihak keluarga, dan difahamkan jenazahnya dibawa terus ke kediaman keluarganya.

No comments:

Post a Comment