19/08/2014

Ipoh : Foto Orang Asli Ditemui Mati Tersangkut Di Pokok Petai



IPOH - Seorang pemuda Orang Asli ditemui mati tersangkut di atas pokok petai di kawasan hutan yang terletak berhampiran Persiaran Emas 3, Taman Sri Emas dekat Kampar kelmarin.


Johnny Pandak (gambar kecil), 29, yang bekerja mencari hasil hutan dipercayai terjatuh dari pokok tersebut selepas dia tersilap langkah ketika sedang mengambil petai.


Pokok petai itu berketinggian 15 meter manakala mayat Johnny ditemui tersangkut pada dahan pokok itu dalam ketinggian kira-kira 10 meter.


Mangsa dipercayai terjatuh dari dahan ke dahan sebelum tersangkut di salah satu dahan besar pada pokok berkenaan.


Johnny yang mati akibat mengalami kecederaan di leher ditemui oleh bapa saudaranya yang keluar mencari mangsa kira-kira pukul 4 petang.


Difahamkan, bapa saudara mangsa bertindak mencari Johnny selepas khuatir sesuatu yang buruk berlaku kerana mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 12 tengah hari pada hari sama untuk mencari hasil hutan.


Bapa mangsa, Pandak Kulop, 50, yang dimaklumkan mengenai penemuan mangsa di atas pokok tersebut menghubungi pihak berkuasa bagi menyelamatkan anaknya.


Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas diturunkan oleh pihak bomba dari atas pokok tersebut.


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, terdapat kesan kecederaan di leher mangsa dipercayai akibat terjatuh dari dahan ke dahan.


"Bapa mangsa enggan mayat anaknya dibedah siasat kerana percaya kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.


Menurut beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di kampung halamannya.

No comments:

Post a Comment