17/07/2014

Singapura : Foto Penduduk Di Arah Turunkan Bendera Palestin



Warga Singapura terus menunjukkan sokongan moral secara terbuka terhadap nasib penduduk di Gaza yang masih berdepan serangan bom tentera rejim Zionis biarpun sokongan itu hanya dizahirkan melalui komen-komen di jaringan media sosial.

Perbualan mereka di jaringan media sosial terutamanya Facebook dan Twitter semakin hangat sehari selepas pihak polis republik itu mengarahkan seorang warga Singapura untuk menurunkan bendera Palestin yang digantung di luar kediamannya pada Isnin.

Mereka mempersoalkan kenapa pihak polis cepat bertindak dalam kes bendera Palestin itu tetapi bersikap seperti pejam sebelah mata kepada warga asing yang mengibarkan bendera China atau Filipina di republik itu.

“Apa salahnya gantung bendera Palestin? Mereka hanya hendak berdoa untuk Gaza,” tulis Jason Teo di laman Facebook Outstanding SG.

Laman Facebook itu memuatnaik foto bendera Palestin yang dikibarkan di luar sebuah flat di republik itu.

Laman web berita Channel News Asia melaporkan kejadian berlaku pada pagi Isnin di Tingkat 11, Blok 54, Sims Drive. Sejak foto berkenaan dipaparkan di Facebook pada Isnin malam, ia dikongsikan oleh lebih 900 pengguna jaringan media sosial itu.


Seorang lagi pengguna Facebook, Fizzy Lumpkins menulis komen ini: “Kelakar, kita tak nampak respons yang sama apabila bendera PRC (China) atau Pinoy (Filipina) digantung.”

Seorang lagi yang menggunakan nama Chapiik Serizawa mempersoalkan kenapa menggantung bendera Palestin sebagai bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh Israel di bumi Palestin itu salah.

“Kalau kerajaan tidak buat apa-apa kerana Singapura pro-Israel, benarkan kami membantah kerana kami manusia. Kami ada perasaan dan kemanusiaan. Kami bukan budak-budak. Kami dewasa dan matang untuk membezakan yang betul dan yang salah.”

Reaksi sama yang mempertikaikan ‘nasihat polis’ itu juga dilihat di Twitter.

Perbualan mengenai bendera Palestin yang diturunkan itu menyusul perbualan sama mengenai pendirian Singapura terhadap kekejaman Israel di Gaza selepas republik itu dalam kenyataannya minggu lalu menyuarakan meminta pejuang Palestin menghentikan serangan roket ke atas Israel.

Laman web akhbar Today melaporkan lelaki berkenaan menurunkan bendera Palestin itu “selepas dinasihatkan oleh polis”. Bendera itu sempat berkibar selama lebih kurang dua jam, lapor laman web itu lagi. “Bendera itu diturunkan secara sukarela. Polis sedang menyiasat perkara ini,” kata jurucakap polis seperti dipetik oleh Today.

Lelaki berkenaan Gulam Yusuf turut memuatnaik foto kunjungan polis ke kediamannya bersama tiga foto lain yang menunjukkan bendera berkenaan di laman Facebook.

Dalam kenyataan ringkasnya di Facebook, Gulam kesal kerana polis boleh membenarkan perhimpunan pendukung hubungan seks sejenis tetapi mengambil tindakan terhadap tindakannya yang cuba mencetuskan kesedaran umum tentang pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza.

Gulam merujuk kepada rapat umum mendukung hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang diadakan di Singapura sehari sebelum puasa Ramadan pada 28 Jun lepas.

Menurut Today, Gulam memberitahu dia ditanya oleh polis tentang latar belakang kaum dan agamanya serta kunjungannya ke beberapa negara di Asia Barat. Gulam berkunjung ke Israel tujuh bulan lalu.

Di bawah undang-undang Singapura, adalah satu kesalahan untuk mengibarkan bendera negara lain di khalayak ramai selain daripada bendera republik itu. Kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga S$500 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Ini bukanlah kes pertama melibatkan bendera asing yang diambil tindakan oleh polis Singapura. Pada Julai 2012, ia menyiasat seorang warga Singapura berketurunan Cina yang menaikkan bendera China tidak lama sebelum sambutan kemerdekaan republik itu. - www.astroawani.com

10492179_865713903456139_4443359003880052614_n

mynewshub

No comments:

Post a Comment