SIASAT: Polis sedang meneliti bukti ada penonton yang menggunakan tiket khas penonton berkerusi roda
Polis dilaporkan sedang meneliti bukti rakaman visual daripada CCTV dan foto yang tersebar melalui media sosial. Visual berkenaan antaranya dirakamkan semasa perlawanan pembukaan Brazil menentang Croatia.
Bagaimanapun siasatan polis ini dijangka sukar dan sensitif. Ini kerana sesetengah kes itu mungkin kerana orang berkenaan tidak boleh berjalan jauh tetapi tiada masalah untuk berdiri sekejap.
Sekurang-kurangnya ada 22 rakaman daripada CCTV yang menunjukkan penonton berkerusi roda bangun melompat semasa perlawanan yang menyaksikan England kalah kepada Uruguay beberapa hari lalu.
Ada juga hampir 30 foto seperti itu yang tersebar melalui jaringan media sosial yang dikongsikan oleh peminat bolasepak.
FIFA sebelum ini megah mencanangkan semua orang akan ada akses kepada Piala Dunia 2014 di Brazil ini. Selain tempat duduk khas untuk mereka yang menggunakan kerusi roda, sesetengah stadium menyediakan kemudahan audio ulasan selari.
Polis percaya tiket-tiket konsesi yang dikhaskan untuk penonton kurang upaya terutamanya bagi perlawanan tumpuan telah jatuh ke tangan ulat tiket.
Laporan media menyebut ulat tiket menjual tiket khas untuk orang kurang upaya di luar stadium dan melalui jaringan media sosial. Mereka dipercayai mengaut untung besar kerana setiap tiket untuk penonton yang berkerusi roda datang dengan satu tiket untuk pendorong kerusi roda.
Sementara itu, dua orang ditahan kerana cuba menjual tiket percuma yang diedarkan oleh FIFA kepada syarikat penaja dan persatuan bolasepak. Mereka menjual tiket itu di sebuah hotel yang didiami oleh pegawai FIFA.
Dua lelaki itu mempunyai 50 tiket percuma dalam tangan. Tiket itu kemudian dirampas dan dibatalkan.
Dalam pada itu, polis Brazil juga mengesan penjualan tiket pasar gelap yang mencecah sehingga 10 kali lipat lebih mahal terutamanya bagi perlawanan yang melibatkan pasukan tuan rumah.
No comments:
Post a Comment