19/06/2014

Penukaran Agama Di Benarkan - Perlembagaan Persekutuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penukaran agama secara unilateral (satu pihak) dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu jawapan bertulis kepada M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Jamil Khir menegaskan, Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan hak beragama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun mesti ditentukan oleh ibu, bapa atau penjaga.

“Dalam kes Shanala Sathiyaseelan menentang Dr Jeyaganesh C Mogarajah & Anor (2004) 2 CLJ 416, Mahkamah Persekutuan menetapkan baris Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan bahawa, agama kanak-kanak di bawah 18 tahun boleh ditentukan oleh salah seorang ibu, bapa.

“Berdasarkan keputusan kes berkenaan, kebenaran dari satu pihak sudah mencukupi dalam isu menentukan agama kanak-kanak,” katanya.

Jamil Khir berkata, ini berdasarkan perkataan di dalam Artikel 12(4) menyebut; ibu, bapa (parent) atau penjaga, bukannya ibu dan bapa atau penjaga, jadi ia membawa maksud sama ada ibu atau bapa atau penjaga.

“Maka, semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang sudah dikuatkuasakan, kerana pihak kerajaan tidak berhasrat untuk membuat apa-apa pindaan.”

SuaraTv

No comments:

Post a Comment