11/06/2014

Johor : Enam Jam Remaja Tarik Jasad Ibu

KOTA TINGGI: Hanya kasih sayang sejati mampu memberi kekuatan kepada seorang remaja Pakistan berusia 14 tahun untuk berenang selama 12 jam, termasuk enam jam menarik jasad ibunya, selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang dekat sini, semalam.

Walaupun menyedari ibunya, Zainab Oirkeel, sudah tidak bernafas lagi, Muhammad Aqeel Qirkeel Hussin, 14, menggunakan kain Pashminanya untuk mengikat jasad pada rantai leher yang berlambangkan Yasin.

Dia menggunakan seluruh kudrat menarik mayat ibunya daratan dengan berpandukan titik cahaya dalam kegelapan malam.

Menceritakan pengalaman menyayat hati itu, Muhammad Aqeel, satu-satunya mangsa bot karam yang diselamatkan setakat ini, berkata ujian dihadapinya bagaikan tidak putus-putus apabila dia turut diserang ketam.

“Saya berulang kali menepis dan membuang ketam itu supaya tidak terus naik ke badan saya dan ibu,” katanya dalam bahasa Urdu yang diterjemahkan jurubahasa Muhamad Junus Lalahan.
Muhammad Aqeel yang melelas pada lehernya akibat geseran rantai dan kain Pashmina ibunya, ditemui wakil media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, malam tadi. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin.

Remaja itu berkata, dia bersama enam keluarga datang ke Malaysia untuk melancong dan menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur kira-kira seminggu lalu.

Kemudian, katanya, keluarganya ke Johor Bahru sebelum menaiki teksi ke chalet di Pengerang Ahad lalu.

“Kira-kira jam 7 malam kelmarin, kami sekeluarga menaiki bot bersama dua orang lain yang tidak dikenali tanpa memakai jaket keselamatan.

“Selepas setengah jam, tiba-tiba bahagian depan bot menjunam dan terus tenggelam,” katanya.

Dia berenang mencari keluarga di kawasan itu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum menemui ibunya yang terapung.

“Saya tidak sangka akan selamat hingga sebuah kapal besar lalu berhampiran saya pagi tadi (semalam) dan memberi pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur mengesahkan enam rakyat negara itu yang ditemui mati lemas di perairan Teluk Ramunia, Pegerang dekat Kota Tinggi, semalam berasal dari Quetta.

Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu adalah satu keluarga dan mereka dikenali sebagai Zainab, Zulkqarnain, Sidiqqa, Hameed, Qasim Ali dan Jumah Khan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi itu yang difakskan ke pejabat Harian Metro di sini, malam tadi, semua mangsa tiba di Kuala Lumpur pada 18 April lalu di atas tujuan lawatan sosial. _ Mymetro

No comments:

Post a Comment