22/06/2014

Foto Artis Malaysia Sanggup Berbelanja RM 16,000 Untuk Berada Di World Cup Brazil

Kemeriahan kejohanan Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil kini sedang melanda seluruh dunia termasuk di Malaysia. Temasya yang hanya muncul empat tahun sekali ini sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang akan ‘gila bola’ yang sudah bersedia untuk memberi sokongan penuh terhadap pasukan kegemaran mereka. 

Tidak terlepas, salah seorang selebriti terkenal tanah air iaitu Farish Aziz yang sanggup terbang ke Brazil untuk menyaksikan pembukaan Piala Dunia FIFA 2014 di Stadium Arena Corinthians yang terletak di Sao Paulo seterusnya menyaksikan perlawanan pembukaan antara Brazil menentang Crotia. 

Menurut Farish Aziz atau nama sebenarnya Mohd Farish Bin Aziz Sulaiman, niat untuk menjejakkan kaki ke Brazil sudah lama dipendamkan sejak empat tahun lalu sewaktu kejohanan Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan.

“Sukan bola sepak sudah sebati dalam jiwa saya sejak kecil lagi dan impian untuk berada di kejohanan terhebat dunia ini sudah lama diimpikan. Bayangkan ini merupakan perjalanan paling jauh pernah saya tempuhi iaitu selama 16 jam semata-mata untuk menyaksikan kemeriahan piala dunia yang hanya dianjurkan empat tahun sekali. 

“Jadi saya bersama seorang kawan baik, Johan ambil keputusan untuk simpan duit dan terbang ke Brazil demi menyaksikan perlawanan pembukaan antara Brazil menentang Crotia. Satu pengalaman yang cukup manis dan tidak mungkin akan dapat dilupakan sampai bila-bila,” ujar Farish Aziz sewaktu dihubungi Astro Gempak.

Merakam saat ketika menyaksikan depan mata World Cup

Jelas Farish lagi, dia telah menghabiskan wang tunai hampir RM 16,000 untuk kos perjalanan termasuk harga tiket untuk menonton perlawanan secara langsung di Stadium Arena Corinthians.

“Bayangkan saya belanja hampir RM 16,000 selama seminggu di sana termasuk harga tiket penerbangan, tempat tinggal, makan dan juga tiket untuk menonton perlawanan Brazil menentang Crotia.

“Perbelanjaan yang agak  besar tetapi masih berbaloi. Cuma agak terkilan kerana saya tidak sempat untuk saksikan perlawanan antara England menentang Itali kerana kesuntukan masa selain harga tiket yang terlalu mahal,” tambah Farish.

Selain itu, jejaka berusia 30 tahun ini sempat berkongsi pengalaman cemas melihat penyokong Brazil yang mabuk cuba mencetuskan pergaduhan dengan peminat pasukan Crotia selepas perlawanan.

“Kejadian berlaku sewaktu tamat perlawanan pembukaan. Saya dan Johan ambil keputusan untuk menaiki keretapi untuk pulang ke hotel penginapan. Dalam perjalanan kami di dalam keretapi, seorang penyokong Brazil yang sedang mabuk cuba membuat provokasi dengan mengejek sekumpulan penyokong Crotia.

“Saya agak cemas pada awalnya kerana takut akan ada pergaduhan besar, tetapi apa yang mengagumkan apabila penyokong  Crotia tidak mudah melenting sebaliknya mereka sama-sama bergelak ketawa tanpa menimbulkan suasana tegang.

“Dari situ saya nampak sukan bola sepak sememangnya mampu mengeratkan lagi hubungan dari pelbagai benua dan negara. Insya Allah kalau ada rezeki mungkin Piala Dunia FIFA 2018 yang bakal dianjurkan oleh Russia,” jelas Farish lagi mengakhiri perbualan

No comments:

Post a Comment