KHAMIS lalu, akhbar melaporkan kes rogol yang melibatkan remaja bawah umur di Kelantan semakin membimbangkan dengan sejumlah 21 kes dilaporkan Januari lalu.
Meskipun jumlahnya belum mencatatkan peningkatan berbanding tahun lepas, nisbah laporan sebanyak empat kes sebulan merupakan suatu perkara yang perlu dipandang serius.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Azham Othman berkata, majoriti kes rogol yang dilaporkan melibatkan remaja bawah umur.
Katanya, masalah itu perlu ditangani segera bagi mengekang gejala sosial seperti itu daripada terus berlarutan.
Malah, pelbagai program bagi mendidik rakyat berhubung perkara itu juga perlu digiatkan.
Terbaru, pada 20 Mei lalu, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa dirogol oleh 38 lelaki secara bergilir-gilir.
Remaja yang merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Kuala Krai itu dirogol di sebuah rumah kosong yang terletak di Ketereh.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa bersama seorang rakan lelaki pergi ke Ketereh untuk bertemu dengan seorang rakan wanita di sebuah rumah kayu kosong yang dikelilingi semak.
Mangsa dan rakan lelakinya bertemu dengan seorang lagi lelaki yang membawa mereka ke rumah kosong tersebut.
Belum sempat mereka beredar dari rumah tersebut, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bersama hampir 40 lelaki yang lain menghampiri mangsa dan rakannya.
Mereka dibawa ke dalam sebuah bilik, ditampar dan dirogol secara bergilir-gilir sehingga pengsan sambil disaksikan rakan lelaki mereka.
Katanya, apabila mangsa tersedar, rakan lelakinya memberitahu bahawa dia telah dipaksa untuk menyaksikan mangsa dan seorang lagi rakannya dirogol oleh 38 lelaki.
Tinjauan mendapati, untuk memasuki kampung tersebut dan sampai ke lokasi kejadian perlu melalui kebun getah dan sawah.
Susulan kejadian itu, seramai 12 individu berusia antara 17 hingga 40 tahun dari Kampung Hutan Pasir termasuk remaja perempuan 17 tahun yang mendakwa menjadi mangsa jenayah itu, ditahan polis bagi membantu siasatan.
Benci
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Zainal Madon berkata, kejadian rogol dapat memberi kesan psikologi kepada mangsa dari segi mental, emosi, perlakuan dan sosial.
“Kesan psikologi menjadi lebih serius sekiranya kejadian rogol ini berlaku secara kejam.
“Daripada segi mental, ia menyebabkan kecelaruan mental akibat trauma kesan dirogol. Malah, mangsa rogol juga akan kerap membayangi peristiwa tersebut dan seringkali menunjukkan simptom seperti terkejut atau ketakutan,” ujarnya.
Tambahnya, kesan psikologi akan mengakibatkan emosi seseorang menjadi tidak stabil, tertekan, sedih, tidak puas hati, benci dan takut.
“Perkara ini akan membawa kepada kemurungan atau emosi yang tidak terkawal seperti menjerit, histeria atau bertindak agresif. Jika keadaan ini berlarutan, ia boleh mengganggu kehidupan sosial seseorang.
“Mangsa akan berasa malu, hilang keyakinan diri dan fobia untuk berinteraksi dan berhubung dengan orang lain. Malah, ia menyebabkan mangsa tidak mahu hadir ke sekolah, serta malu berjumpa rakan-rakan dan masyarakat.
“Selain itu, mangsa juga akan menyimpan perasaan dendam terhadap kaum lelaki,” jelasnya.
Katanya, keluarga perlu memainkan peranan dalam memberi sokongan moral dan emosi bagi membantu mangsa rogol.
“Selain itu, sesi kaunseling juga perlu diadakan bagi membantu mangsa memulihkan kembali keyakinan, meluahkan emosi yang terpendam dan membina semula personaliti dan jati dirinya.
“Usaha menjejaki si perogol juga mesti dilakukan secara berterusan dan mengenakan hukuman terhadap si pelaku dapat meredakan perasaan tidak puas hati mangsa,” beritahu beliau.
Foto : Di bilik inilah mangsa dirogol...
Sumber
No comments:
Post a Comment