China Press meramalkan tiga menteri UMNO akan diganti dalam rombakan Kabinet
Spekulasi rombakan Kabinet semakin panas dengan surat khabar dan portal berita tidak ketinggalan membuat ramalan masing-masing.
China Press melaporkan MCA mungkin memboikot jawatan dalam Kabinet sekiranya hanya diberi peluang untuk mengisi satu kekosongan dalam Jemaah Menteri.
MCA pada masa yang sama bagaimanapun tidak terlalu optimis untuk menerima lebih daripada dua jawatan menteri walaupun parti itu pernah mengemukakan formula 3+5 yakni tiga menteri dan lima timbalan menteri.
"Walaupun MCA meminta 3+5, tetapi sumber memberitahu bahawa MCA paling banyak akan memperolehi 2+2 iaitu dua menteri dan dua timbalan menteri," lapor China Press.
Apa yang paling dibimbangkan MCA ialah kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya mengumumkan satu jawatan menteri untuk parti tersebut.
Difahamkan tiga jawatan menteri yang disasar MCA ialah Menteri Pengangkutan; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Menteri Kesihatan.
Jawatan timbalan menteri yang diminta ialah dalam Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Dalam laporan berasingan, China Press yang memetik sumber meramalkan bahawa tiga menteri dari UMNO iaitu Datuk Seri Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Menteri Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar) akan digantikan.
Tengku Adnan diganti kerana beliau perlu menumpu perhatian sebagai Setiausaha Agung UMNO manakala Anifah pula dikatakan berniat berundur sebagai menteri atas masalah kesihatan.
Namun ketiga-tiga jawatan yang ditinggalkan oleh wakil UMNO tersebut akan diisi semula oleh wakil dari parti yang sama.
Najib juga dikatakan tidak akan memperbesarkan saiz Kabinet tetapi berkemungkinan memperkenalkan satu kementerian yang menumpu kepada soal pembangunan industri kecil dan sederhana. Ramalan China Press mengenai kementerian baharu ini kelihatan sama dengan jangkaan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Sementara itu, Presiden Gerakan iaitu Datuk Mah Siew Keong yang baru sahaja menang dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan dijangka dilantik sama ada sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi atau Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Post a Comment