03/05/2014

Hudud : Kenapa Terlalu Jauh Beza Draf Pas Dengan Brunei?


Jiran tetangga kita yakni Brunei Darul Salam secara rasminya telahpun menguatkuasakan perlaksanaan hukum hudud (Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013) ataupun dikenali juga sebagai Kod Penal Syariah bermula 1 Mei 2014.


Ia satu perkembangan yang baik dan cukup menarik lebih-lebih lagi di negara kita ini pun isu mengenai hukum hudud kembali hangat diperkatakan berikutan ura-ura PAS mahu melaksanakannya di negeri Kelantan sehingga menimbulkan bantahan rakan sepakatannya dari DAP dan PKR.

Secara umumnya banyak kelihatan komen positif di pelbagai media online Malaysia dan banyak juga harapan yang disuarakan supaya Kerajaan Malaysia turut membenarkan Kelantan mengikut jejak langkah yang dirintis oleh Brunei dengan menguatkuasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (Hudud PAS).

Sebelum kita pergi lebih jauh biarlah kita menyedari realiti, senario negara kita yang berasaskan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen memerlukan undian majoriti di Dewan Rakyat untuk menggubal atau meminda undang-undang.

Ia tidak semudah jiran kita Brunei yang sistem pemerintahannya berasaskan monarki atau Raja Mutlak & parlimen di Brunei pula hanya berperanan menasihat tanpa sebarang kuasa istimewa dalam hal melibatkan penggubalan undang-undang.

Selain itu penulis merasakan mungkin sebahagian besar kita terlepas pandang bahawa perlaksanaan hudud di Brunei menyerlahkan satu perbezaan nyata bila dibandingkan dengan draf hudud PAS yang pernah dibentangkan di DUN Kelantan pada 1993.

Perbezaan yang dimaksudkan adalah mengenai penguatkuasaan hukum hudud di Brunei yang mana turut meliputi semua rakyatnya termasuk orang bukan Islam seperti diterangkan dalam dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 di Bahagian I Perkara 3 ceraian [1] yang menyebut “melainkan diperuntukkan dengan nyata sebaliknya didalamnya, Perintah ini hendaklah dikenakan kepada orang Islam dan orang bukan Islam.”

Manakala dalam Bahagian IV Perkara 69 ceraian 3 & 4 hukuman hudud yang dilaksanakan di Brunei itu turut menyatakan orang bukan Islam yang melakukan kesalahan zina dengan pasangan Islam juga boleh dikenakan hukuman rejam sampai mati ataupun 100 kali sebatan.

Sedangkan hudud PAS yang diwar-warkan sejak lebih dua dekad lalu sering dinyatakan secara konsisten oleh pemimpin PAS bahawa hukuman hudud yang akan dilaksanakan hanya terhad pada orang Islam sahaja manakala orang bukan Islam dikecualikan meskipun seandainya ditangkap melakukan zina dengan orang Islam.

Untuk makluman, rentetan dari tafsiran PAS bahawa hudud hanya menghukum orang Islam sahaja itulah menimbulkan pertikaian umum termasuklah tuntutan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir melalui suratnya kepada MB Kelantan pada 15 Julai 1994 mengenai perlunya keadilan diutamakan sebelum Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hukum hudud.

Keadilan yang dimaksudkan oleh Tun Dr M itu tidak lain dan tidak bukan ialah penguatkuasaan undang-undang Islam yakni hukum hudud mestilah dilakukan secara bijaksana dan turut merangkumi seluruh rakyat tanpa mengira agama atau bangsa sama seperti dilaksanakan Brunei sekarang.

Jadi sekarang wajib bagi PAS merungkai menjawab persoalan kenapa mesti ada perbezaan antara hukum hudud yang dipromosikan oleh PAS dengan perlaksanaan hudud di Negara Brunei Darul Salam? Hudud yang mana satu menjunjung keadilan menepati tuntutan Islam?

Atau mungkinkah selepas rombongan MB Kelantan berkunjung ke Brunei baru-baru ini untuk mencontohi perlaksanaan hudud di negara itu telah mencetuskan idea baru di fikiran pimpinan PAS untuk mengubahsuai semula draf hududnya supaya selari dengan perlaksanaan di Brunei yang meliputi semua golongan tanpa mengira agama?

Dua tiga persoalan di atas tentu sahaja menuntut penjelasan yang cukup cermat dari PAS untuk menjernihkan pemahaman umum lebih-lebih selepas pemimpin DAP Teresa Kok sebelum ini mendedahkan pengakuan oleh pemimpin PAS bahawa isu perlaksanaan hudud sengaja diguna pakai sebagai strategik politik bagi kepentingan politik PAS.


No comments:

Post a Comment