Home » » Khalid Ibrahim Mangsa Anwar Seterusnya?

Khalid Ibrahim Mangsa Anwar Seterusnya?

Written By Unknown on 01/04/2014 | 4:38 pm


Kita masih tidak lupa bagaimana pemilihan parti PKR pada 2010 telah berlangsung dalam suasana paling kotor sekali. Penyelewengan undi boleh dikatakan berlaku secara terbuka sehinggakan terdapat kawasan di mana jumlah pengundi tidak sama dengan kertas undi. Petugas JPP yang dilantik pula boleh membawa balik kertas undi dan hanya lapor melalui SMS atau telefon ke Ibu Pejabat PKR sahaja.

Akibatnya, beberapa ahli dan pemimpin PKR telah meninggalkan parti itu, termasuklah Zaid Ibrahim yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.

Apa yang berlaku pada ketika itu adalah manipulasi undi di peringkat tertinggi untuk memastikan jawatan utama dipegang oleh kroni dan keluarga Anwar Ibrahim semata-mata. Sesiapa yang tidak memiliki ‘kesetiaan total’ kepada Anwar atau berpotensi untuk mengatasi Anwar dan kroni serta keluarganya, akan dinafikan sebarang jawatan.

Melihat dari cara Anwar Ibrahim menguruskan parti, kita percaya pemilihan PKR pada tahun ini juga tidak banyak bezanya. Malah, perkembangan terbaru di mana Anwar akan bertanding melawan Wan Azizah untuk jawatan Presiden, membayangkan kemungkin berlakunya penyelewengan yang jauh lebih kotor lagi dalam pemilihan kali ini.

Anwar secara dasarnya telah pun mempunyai kuasa ‘mutlak’ ke atas PKR walaupun Wan Azizah yang menjadi Presiden. Oleh itu, pertandingan antara suami isteri ini dilihat sebagai tidak lebih dari sekadar sandiwara untuk mengelak risiko Wan Azizah dicabar oleh orang lain. Sumber menyatakan bahawa Azmin Ali juga merancang untuk bertanding jawatan Presiden tetapi terpaksa melupakan rancangan tersebut apabila Anwar ingin bertanding.

Dengan kemenangan Wan Azizah di Kajang, beliau kini dipersiapkan oleh Anwar untuk memegang jawatan Menteri Besar. Jawatan Menteri Besar dan Presiden sekali gus, tentulah amat berat walaupun bagi seorang boneka seperti Wan Azizah.

Namun, kita perlu ingat bahawa ‘sifat’ Wan Azizah di dalam PKR hanyalah sebagai ‘simbol’ kepada Anwar Ibrahim. Dalam keadaan di mana Anwar tidak pasti akan kesudahan nasibnya di mahkamah, jalan yang paling selamat untuk mengekalkan kuasa ialah untuk meletakkan Wan Azizah bagi setiap jawatan penting. Dengan cara ini, Wan Azizah boleh disuruh meletak jawatan pada bila-bila masa yang perlu untuk digantikan dengan Anwar atau orang lain yang mampu membawa semangat kesetiaan yang sama terhadap Anwar.

Walaupun Azmin dikatakan telah semakin ‘jauh’ dari Anwar dan telah diketepikan secara halus, namun ini tidak bermakna yang kasih sayang antara mereka telah luntur sepenuhnya. Wan Azizah dan Azmin Ali, masih lagi merupakan antara manusia yang paling dipercayai oleh Anwar Ibrahim.

Justeru, Anwar merasa selamat untuk mencaturkan mana-mana jawatan untuk mereka ini sekiranya beliau ke penjara.

Apa yang pasti, percaturan Anwar langsung tidak melibatkan Khalid Ibrahim. Kita melihat, satu-satunya mangsa yang hampir pasti dalam pemilihan PKR kali ini, ialah Khalid Ibrahim.

Khalid mungkin bakal mengalami nasib seperti Zaid Ibrahim di mana akhirnya akan terpaksa menerima hakikat bahawa parti PKR adalah milik Anwar anak beranak dan kroni mereka.

Ini tidak menghairankan kerana Khalid adalah orang pilihan DAP, bukan PKR. Maka tidak hairanlah apabila portal seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider dilihat cuba membela dan mengekalkan Khalid sebagai MB. Pemimpin DAP bagaimanapun, lebih berhati-hati untuk tidak menonjolkan pendirian mereka mengenai personaliti di dalam PKR.

Kesimpulannya, pemilihan PKR kali ini bolehlah dijadikan ukuran terhadap pengaruh Anwar dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger