Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan polis ada pergi ke rumah juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah bagi mendapatkan maklumat tambahan.
Bagaimanapun, katanya ia hanya satu kaedah pencarian maklumat bagi membantu siasatan kehilangan pesawat MH370 Sabtu lalu dan bukan serbuan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Petugas Polis Diraja Malaysia Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Maktab PDRM di sini, hari ini.
Ahmad Zahid juga mengesahkan bahawa pertemuan dengan anggota keluarga anak kapal MH370 itu dibuat di rumah dan beberapa lokasi lain.
“Kerja polis biasalah untuk mencari bahan-bahan bagi memudahkan pencarian jika ada unsur-unsur yang didapati boleh membantu…saya tak fikir ia dibuat untuk diambil tindakan,” katanya.
Terdahulu menerusi laporan beberapa media asing awal hari ini, mereka mendakwa terdapat laporan kononnya rumah juruterbang dan anak kapal MH370 digeledah oleh PDRM pada Rabu malam.
Bagaimanapun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah turut menafikan dakwaan berkenaan.
Sementara itu mengulas mengenai siasatan terhadap isu penggunaan pasport curi oleh dua warga asing yang menaiki MH370, Ahmad Zahid berkata Jabatan Imigresen telah merakam keterangan empat anggotanya mengenai perkara tersebut.
Menurut beliau kesemua empat anggota berkenaan tidak diambil sebarang tindakan.
“Tidak perlu dikenakan tindakan disiplin terhadap mereka kerana semua urusan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
mynewshub
Post a Comment