Berbagai-bagai teori dikemukakan mengenai kehilangan MH370. Antara teori yang paling diminati ialah konspirasi melibatkan kuasa besar. Teori ini dikukuhkan dengan kesungguhan negara barat mempersoal tindakan kerajaan, media dan juga cuba mengheret kepada isu terorisme atau psikologi bagi memperlihatkan kelemahan Malaysia.
Teori sebegini merupakan strategi biasa bagi membolehkan negara barat masuk campur dan sekali gus bertapak sebentar di rantau ini. Kedudukan Vietnam yang dikatakan pro-China meningkatkan lagi syak wasangka ramai bahawa ia merupakan konspirasi barat. Keadaan ini menjadikan operasi pencarian sukar kerana Vietnam tidak membenarkan sebarang aset negara luar masuk lebih jauh ke dalam perairannya.
Kita tidak tahu sama ada teori ini benar atau tidak dan kita tidak mungkin akan dapat mengesahkannya.
Teori konspirasi barat membawa matlamat untuk menguasai dunia melalui pertukaran rejim. Kita telah melihat bagaimana satu persatu negara Arab melalui proses pertukaran rejim yang berdarah. Negara-negara itu kini hancur dan lemah di mana mereka terpaksa bergantung kepada barat sepenuhnya untuk pemulihan. Sehingga kini, tiada satu pun negara itu yang berjaya pulih kembali, malah semakin hari semakin lemah.
Pertukaran rejim dan penjajahan alaf baru hanya boleh berjaya sekiranya rakyat negara tersebut berpecah belah. Justeru, sekiranya kita benar-benar percaya bahawa MH370 adalah mangsa konspirasi barat, maka inilah masanya untuk kita bersatu.
Majlis Raja-raja telah pun membuat perutusan khas menyeru rakyat Malaysia bersatu dalam menghadapi tragedi ini. Perutusan itu seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh semua rakyat tidak kira fahaman politik mahupun agama dan bangsa.
Perutusan itu membawa makna yang cukup penting bagi mereka yang memahami.
Inilah masanya untuk kita berdiri teguh di belakang kerajaan dan bukannya bertindak melemahkan lagi kerajaan dengan berbagai tuduhan. Inilah masanya kita memperlihatkan sikap patriotik yang kita laung-laungkan. Inilah masanya kita memperlihatkan kematangan dan juga ‘keIslaman’ yang kita megahkan.
Ini bukan masa untuk kita menuding jari, memaki hamun, menghina dan mengejek. Ini bukan masanya untuk kita menunjuk pandai.
Jika benar kita pandai, maka berilah idea yang bernas untuk membantu bukannya sekadar menyoal dan mengutuk dari dalam komputer. Jika benar kita prihatin, maka doakanlah, tunjukkanlah simpati dan bukannya kebencian dan kemarahan terhadap sesiapa jua.
Sesungguhnya, kehilangan MH370 memberi banyak pengajaran dan ruang untuk rakyat Malaysia kembali melihat ke dalam diri sendiri. Bagaimanakah reaksi kita dalam menerima berita ini?
Apakah hanya kerana tiada di antara mangsa yang terlibat merupakan kenalan atau saudara kita, maka kita berhak menghukum bahawa semua yang berlaku merupakan balasan ke atas dosa mereka? Apakah kita menerima berita ini dengan perasaan teruja kerana ia memberi peluang untuk kita menghentam kerajaan dan menunjuk bijak?
Setiap kejadian ada hikmahnya dan jika kita gagal menangani dan memahami hikmah ini dengan baik, maka kita akan menjadi antara manusia yang bakal menerima balasan.
Kesimpulannya, kehilangan MH370 merupakan peluang untuk kita bersatu, kembali insaf, merendah diri dan berfikir bukannya semakin berpecah, riak dan takbur.
Post a Comment