09/03/2014

#pray4MH370 ; Isteri Bekas Ceo Celcom & 29 Staff Semiconduktor Antara Yang Hilang

Isteri Dan Dua Anak Bekas CEO CELCOM DISAHKAN Penumpang MH370

Isteri dan anak pengerusi Kumpulan Modal Perdana Datuk Mohamed Ramli Abbas merupakan antara 239 penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal hari ini.

Adik ipar Mohamed Ramli, Salmy Hashim berkata isteri bekas Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datin Biby Nazli Mohd Hassim bersama dua anak perempuan mereka Maria dan Dina telah menaiki pesawat itu untuk bercuti ke Beijing.

Salmy yang merupakan pemberita sambilan Bernama di Washington, Amerika Syarikat memberitahu BernamaTV, turut serta bersama Biby dan keluarganya dalam penerbangan itu adalah kakaknya Noorida.

Salmy berkata beliau tidak menyangka perbualan menerusi laman sosial skype bersama dua kakak dan dua anak buahnya minggu lepas merupakan detik terakhir mereka berhubung sebelum dilaporkan hilang.

Beliau ketika dihubungi tidak dapat menahan sebak berikutan insiden yang menimpa keluarganya dan berkata: “Saya dapat tahu tentang kejadian ini malam tadi (waktu tempatan) bila anak saudara saya memanggil saya.”

“Mak dia iaitu kakak saya, dengan dua orang anak dan kakak lagi seorang dalam pesawat. Jadi saya cuma tahu melalui telefon,” kata Salmy yang merupakan anak ke enam daripada sembilan beradik.
Salmy turut berharap agar pesawat itu ditemui dan kesemua penumpang berada dalam keadaan selamat.

Pesawat MH370 itu hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi tadi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi waktu tempatan.

Hilang 29 rakan sekali gus

“Macam tak percaya apabila kami kehilangan ramai kakitangan pengurusan sekali gus. Sebaik tiba di kilang untuk memulakan syif pagi tadi (semalam) semuanya seperti biasa, sehinggalah kami mendapat e-mel daripada pengurusan.

“Saya simpati dengan apa yang berlaku. Kebiasaannya memang syarikat menghantar pengurusan untuk urusan perniagaan ke China, tak sangka kali ini berakhir dengan berita sedih,” kata kakitangan kilang Freescale Semiconductor yang mahu dikenali Amin.


Katanya, dia dimaklumkan rakan ketika tiba di tempat kerja pagi semalam dan terkejut apabila mendengar salah seorang daripada pengurus pengeluaran terbabit dalam nahas.

Menurutnya, dia mengenali pengurusnya itu sebagai seorang yang baik malah disenangi pekerja dan bersimpati dengan nasib menimpanya.


Kakitangan kilang Freescale Semiconductor antara penumpang pesawat hilang.


“Semua staf menerima emel mengenai kejadian dan pengurusan menjelaskan masih menunggu perkembangan terkini mengenai kejadian itu,” katanya.

-mynewshub/hm

No comments:

Post a Comment