19/02/2014

Sweden ; Perbicaraan Bermula, Anak Pasangan Mengaku Sering Di Pukul..




Tiada saksi dipanggil oleh pihak pendakwa untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan pasangan rakyat Malaysia di mahkamah daerah Solna di Stockholm, Sweden, kata Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Khairul Anwar, yang tiba di Stockholm pagi semalam berkata perbicaraan sebaliknya menyaksikan pihak pendakwa mengemukakan rakaman video polis Sweden dengan anak bongsu pasangan itu, Arif.

Beliau berkata Sukaguam dimaklumkan bahawa tiada orang dewasa atau jiran pasangan itu akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu.

“Kami membuat andaian bahawa mungkin saksi yang dipanggil terdiri daripada rakan-rakan sekolah anak-anak berkenaan,” kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama, di sini.

Khairul said Sukaguam juga percaya bahawa saksi-saksi utama dan barangan kes penting cuma rakaman video anak pasangan itu.

Pada 10 Feb, Shalwati Norshal, guru yang mengambil cuti tanpa gaji, dan suaminya Azizul Raheem, pegawai Tourism Malaysia di Sweden didakwa secara berasingan di mahkamah daerah Stockholm atas tuduhan mendera anak mereka.

Perbicaraan bermula pukul 9 pagi dan dijangka berlangsung selama dua minggu.

Peguam Shalwati, Kristofer Stahre, juga mengesahkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa anak pasangan itu tidak perlu menghadiri perbicaraan.

Sebelumnya, Khairul Anwar dilaporkan sebagai berkata pihak pendakwa Sweden sebaliknya boleh menghantar wakil ke Malaysia untuk merakamkan kenyataan lanjut daripada anak pasangan itu.

Sementara itu, kakak Shalwati, Noor Azila Makhzan ketika dihubungi Bernama berkata pasangan itu amat gembira apabila bertemu satu sama lain dan anggota keluarga semasa perbicaraan.

“Ini lah kali pertama Azizul dan Shalwati (direman berasingan) dapat melihat muka masing-masing. Shalwati menitis air mata melihat Azizul.

“Dia dan Azizul juga melambai tangan melihat keluarga dalam mahkamah,” katanya yang tiba di Stockholm pagi semalam.

Menurut Noor Azila, beliau mendapati bahawa semasa perbicaraan, pihak pendakwa mengemukakan antara lain, rotan, pemukul permaidani dan gambar penyangkut baju pelbagai warna iaitu antara objek yang dikatakan diguna untuk memukul kanak-kanak itu beberapa kali.

“Barang-barang kes ditunjuk kepada Azizul dan Shalwati melalui peguam-peguam mereka di mana Azizul dan Shalwati tidak mengaku memukul anak-anak mereka dengan barang-barang kes tersebut,” katanya.

Perbicaraan ditangguhkan pada 5 petang (12 malam waktu Malaysia) dan akan bersambung pukul 9 pagi esok.

Pasangan itu ditahan reman sejak 18 Dis tahun lepas kerana dikatakan memukul tangan seorang daripada anak mereka kerana tidak bersolat. Reman ke atas mereka telah dilanjut tiga kali.

Di bawah sistem kehakiman Sweden, mereka yang dituduh tidak dibenar dibebas dengan ikat jamin.

Keempat-empat anak pasangan itu yang sebelum ini diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam susulan kes itu kemudian diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Sweden pada 30 Jan dan kembali ke Malaysia pada hari berikut.

Mereka kini memulakan persekolahan di sebuah sekolah di Kelantan dan dijaga oleh sanak saudara.


Anak Pasangan Malaysia, Mengaku Sering Dipukul Ibu

ANAK pasangan Malaysia yang kini sedang didakwa di Mahkamah Sweden kerana dakwaan penderaan anak-anak dalam keterangan mereka berkata mereka menanggung penderitaan akibat kerap dipukul oleh ibu mereka Shalwati Norshal.

Seorang daripada anaknya pula berkata, mereka sudah tidak berasa sakit lagi akibatnya kerana sering dipukul.

Menurut laporan portal berita Sweden The Local, Shalwati dilaporkan memukul anak-anaknya untuk beberapa tahun termasuk menggunakan kayu, penyangkut baju dan juga tali pinggang.

“Saya sudah biasa dipukul oleh ibu.

“Dia selalu memukul saya di belakang dan di kaki, kemudian dia akan menarik telinga saya dan memukul saya di kepala,” kata seorang anak Shalwati.

Sebelum ini Shalwati, seorang guru yang kini mengambil cuti tanpa gaji kerana menemani suaminya seorang Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, mendakwa hanya memukul anaknya itu sekali sahaja.

Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awaluddin yang bertugas di Stockholm, Sweden kini sedang dibicarakan di Mahkamah Daerah Solna kerana memukul empat anak mereka berusia antara tujuh dan 14 tahun.

Menurut laporan media lain, Azizul ketika soal siasat berkata beliau hanya memukul anaknya pada kali kedua mereka sudah melakukan kesalahan untuk mendisiplinkan mereka.

Antara dakwaan yang dikenakan ke atas Azizul ialah beliau memaksa seorang daripada anaknya itu untuk duduk di penjuru rumah selama lapan jam tanpa makanan.

Anak Shalwati yang berusia 12 tahun juga dilaporkan telah menulis surat meminta maaf daripada ibunya.

“Ia adalah hanya kemarahan saya yang memulakan semua ini, saya akan menyayangi ibu dan tiada apa yang akan mengubahnya,” katanya.

Surat itu dimaklumkan oleh peguam bela Shalwati Kristofer Stahre kerana ia ditemui di dalam rumah ketika pemeriksaan dilakukan tetapi surat itu ditolak oleh pasukan pendakwaan untuk dijadikan bahan bukti.

Pendakwa, Ana Arnell pula dilaporkan berkata surat itu tidak diambil kira sebagai bukti kerana ia adalah satu bentuk komunikasi peribadi dalam kalangan ahli keluarga.

Shalwati dan Azizul didakwa memukul anak mereka di rumah mereka di Stockhoml antara 15 September 2010 hingga 17 Disember 2013.

Mereka berdua bakal berdepan hukuman penjara antara enam bulan dan enam tahun bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan ditetapkan berlangsung selama 10 hari sehingga 10 Mac depan.

Pasangan itu ditahan pada 18 Disember tahun lepas kerana didakwa memuduk anak mereka kerana tidak menunaikan solat. – IBNU K/Mynewshub.my

No comments:

Post a Comment