Masalah denggi di Selangor bukan perkara baru dan tentulah tidak adil jika kita menyalahkan kerajaan PR seratus-peratus. Namun, kita tidak dapat menafikan bahawa di bawah kerajaan PR, masalah ini semakin serius dan tidak terkawal. Ramai yang menyalahkan sikap penduduk kota selain sikap kerajaan negeri yang terbukti tidak cekap mengendalikan perihal pengurusan sampah sarap dan penyaliran.
Masalah air di Selangor juga bukan perkara baru dan seperti juga masalah denggi, ia menjadi semakin serius, terutama apabila kerajaan PR mengambil sikap degil dalam menangani Projek Langat 2. Rata-rata rakyat amat tertekan dan marah akibat ketiadaan air di kediaman mereka sehingga dilaporkan ada yang bertindak ganas ‘menawan’ lori bekalan air.
Kes denggi di Selangor telah meningkat sehingga 354% iaitu hampir setara dengan peningkatan gaji exco Selangor, namun, kerajaan PR Selangor langsung tidak mengulas mengenainya seolah-olah ia bukan urusan mereka. Dalam isu air pula, PR terus menepis dan cuba menyalahkan BN tanpa sedikit pun rasa bersalah kerana membiarkan masalah tersebut berlarutan sedangkan ia boleh diselesaikan lama dahulu.
Bukan hendak ditokok-tambah atau diada-adakan cerita, tetapi rakyat boleh melihat sendiri bagaimana kerajaan PR Selangor langsung tidak prihatin dengan masalah kronik yang dihadapi oleh rakyat negeri itu. Baik pemimpin tertinggi negeri, iaitu Khalid Ibrahim, mahupun pemimpin tertinggi parti, iaitu Anwar Ibrahim, kedua-duanya hampir tidak langsung ambil peduli dengan nasib rakyat.
Khalid Ibrahim sibuk mengatur strategi untuk menyelamatkan jawatannya, manakala Anwar Ibrahim sibuk mengatur strategi untuk merampas jawatan Khalid. Pemimpin lain seperti Azmin Ali pula sibuk melayan patah-hatinya akibat diketepikan Anwar dan dianiaya Khalid. Manakala pemimpin DAP pula sibuk membela Teresa Kok sambil mengapi-apikan 13 Mei, serta terkinja-kinja gembira menikmati ‘kebebasan’ mengejek pemimpin Melayu sesuka hati.
PAS pula, seperti biasa termangu-mangu sambil terhangguk-hangguk sekali sekala, sementara menunggu arahan dari DAP ataupun PKR untuk menyalak atau berguling apabila perlu.
PR diketahui sebagai sebuah parti yang ‘obses’ dengan politik di mana pemimpinnya berpolitik sepanjang tahun tanpa mengira adanya pilihanraya atau tidak. Wakil Rakyat PR juga rata-ratanya hanya bertindak sebagai ‘penyerang’ terhadap Barisan Nasional dan bukannya ‘berkhidmat’ kepada rakyat. Justeru, tidak hairanlah apabila PR suka-suka hati menyuruh wakil rakyatnya meletak jawatan untuk digantikan dengan orang lain sepertimana yang berlaku di Kajang.
Akibat dari sikap tidak bertanggungjawab ini, rakyat di negeri yang diperintah PR sering terpaksa memohon bantuan dari pemimpin BN sekiranya menghadapi masalah. Dalam banyak kes, rakyat seolah-olah terlupa akan tanggungjawab kerajaan negeri PR dan terus merujuk kepada kerajaan pusat, iaitu BN.
Kini, pilihanraya Kecil Kajang pula mengambil seluruh perhatian dan tumpuan pemimpin-pemimpin PR dari urusan negeri dan rakyat Selangor.
Walhal kita tahu bahawa siapapun yang menjadi wakil rakyat di Kajang nanti, rakyat di situ akan tetap terpaksa merujuk kepada BN kerana wakil rakyat PR terlalu sibuk ‘menjana’ kewangan negeri dan tiada masa untuk rakyat marhaen, terutama dari bangsa Melayu dan India yang masih memerlukan tongkat untuk bersaing dalam arus pembangunan pesat di bandar itu.
Berdasarkan hakikat ini, rakyat Selangor termasuk di Kajang wajar bersyukur kerana kerajaan pusat masih lagi BN. Di bawah kementerian yang berkenaan, kerajaan BN begitu giat mencari jalan menangani masalah denggi dan juga air di Selangor. Dan selagi BN menjadi kerajaan pusat, orang-orang Melayu dan India di Kajang boleh saja menyandarkan harapan yang mereka tidak akan dibiarkan merempat dan ditindas dek pendekatan liberalis dan kapitalis PR.
Bayangkan, jika kerajaan pusat juga telah bertukar tangan ke PR, maka kepada siapakah rakyat Selangor boleh mengadu?
No comments:
Post a Comment