Tidak salah jika kita katakan bahawa PRK Kajang adalah PRK paling
kotor dan membazir dalam sejarah kerana ia diadakan khas untuk Anwar
Ibrahim. Seolah-olah
seorang artis yang sudah hampir dilupakan, Anwar menjadikan PRK Kajang sebagai
medan untuk mempromosi diri bagi memastikan hayat politiknya tidak terkubur
begitu saja. Apatah lagi
dengan rayuan kes liwat yang tampak agak ‘sukar’ akibat kegagalan mengenepikan
Dato’ Shafiee Abdullah dari barisan pendakwaan.
Walaupun Anwar ingin menjadikan PRK Kajang sebagai pentas untuk
‘memasarkan’ dirinya dan kesinambungan partinya, tetapi hakikat sebenarnya
ialah PRK ini turut ada baiknya untuk rakyat kerana ia mampu membantu rakyat
menilai buat kesekian kalinya, siapa itu Anwar dan apakah jenis parti yang
diwakilinya.
Lebih dari itu, dengan pengumuman dari MCA untuk menyahut cabaran
Anwar, maka PRK ini juga sekali gus dapat membantu rakyat menilai kembali
komitmen MCA di dalam Barisan Nasional.
Sekiranya rakyat ingin melihat PRK Kajang sebagai pertandingan
moral pemimpin, maka calon MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun, bukanlah lawan
Anwar. Chew Mei Fun
yang juga Naib Presiden MCA, berkeperibadian baik serta berprinsip. Untuk itu, beliau turut dipuji oleh
media pro-PR sebagai bersih dan berintegriti. Pendek kata, Chew Mei Fun adalah
pilihan terbaik dan tepat sehinggakan tiada siapa pun yang dapat berkata
sesuatu yang buruk terhadap dirinya. Ini
menjadikan beliau dengan Anwar bagaikan langit dengan bumi.
Justeru, adalah tidak perlu rasanya untuk kita membandingkan
antara kedua personaliti ini, tetapi melihat PRK ini sebagai kayu pengukur
kematangan pengundi dalam memilih calon dan parti.
PRK Kajang adalah bukti bahawa parti PKR adalah parti yang tidak
bertanggungjawab. Sebaliknya MCA pula adalah parti yang bersungguh-sungguh
berusaha memulihkan kekuatan dan memperbaharui komitmen dengan BN.
Strategi PR dalam PRK Kajang adalah jelas iaitu untuk meraih undi
berdasarkan sentimen perkauman dan agama. Ini
terbukti apabila Anwar masuk ke gereja untuk berkempen bagi ‘memberi harapan’
kepada Kristian mengenai isu kalimah ‘Allah’ dan kemudian berjanji akan
mempertahankan kalimah ‘Allah’ di dalam ceramah lain di hadapan orang-orang
Melayu.
Berbeza dengan MCA, di mana parti itu tidak menyentuh persoalan
sensitif tetapi membawa bersamanya seruan perpaduan, semangat setiakawan dan
keharmonian antara kaum.
Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menafikan yang faktor ‘kaum’
tetap menghantui PRK ini.
Memandangkan pengundi dari kaum Cina menjadi sasaran utama kedua
belah pihak, maka dirasakan adalah lebih wajar jika kita membandingkan Chew Mei
Fun dengan pemimpin Cina dari PR juga. Lawan
yang paling sesuai, tentulah ‘heroin paling bijak’ dalam PR buat masa ini iaitu
Teresa Kok.
Teresa Kok kini menjadi antara personaliti paling penting dalam
DAP hanya kerana beliau merakamkan video ucapan Tahun Baru Cina dengan cara
mengejek-ejek Perdana Menteri dan isteri. Video tersebut dikecam hebat
oleh rakyat Malaysia kerana dianggap tidak sensitif dan tidak matang dalam
memikul tugasnya sebagai pemimpin.
Apa yang menarik ialah, sikap DAP dan keseluruhan Pakatan Rakyat
yang tidak melihat sebarang kesalahan dari video Teresa Kok. Malah, Teresa dibela
bersungguh-sungguh sehinggakan pemimpin tertinggi DAP iaitu Lim Kit Siang
sendiri dilihat tiada kerja lain selain menulis membela Teresa Kok sejak
beberapa minggu lalu di dalam blog beliau.
Perlu diingatkan bahawa Teresa Kok juga telah dikaitkan dengan
projek RM1billion dengan syarikat Goldsino dari China. Oleh itu, integriti beliau dan juga
parti DAP serta PR dan PKR Selangor semuanya menjadi tandatanya.
Berdasarkan hakikat ini, maka tidak salahlah sepertimana yang
dikatakan tadi iaitu PRK Kajang bukan semestinya sebuah platform untuk Anwar
mencari glamour. Tetapi,
apa yang lebih penting ialah ia merupakan platform untuk kita menilai pemikiran
masyarakat Cina sama ada mereka benar-benar mementingkan integriti parti dan
pemimpin sepertimana yang mereka laungkan dalam PRU-13 yang lalu.
Bagi membantu masyarakat Cina memahami pendirian mereka maka
mereka mungkin boleh bertanya diri sendiri beberapa soalan ini:
Dengan sikap pemimpin PR terhadap Teresa Kok, apakah kita boleh
mempercayai bahawa PR ingin menyatupadukan rakyat Malaysia?
Antara Teresa Kok dan Chew Mei Fun, siapakah yang lebih layak
diberi kepercayaan untuk membawa keharmonian?
Antara DAP dan MCA, parti manakah yang layak bercakap tentang
keamanan dan patriotisme?
Antara PKR dan MCA, parti manakah yang menggunakan ‘perkauman’
sebagai alat kempen dengan hujah berbeza-beza mengikut hadirin?
Jika masyarakat Cina sanggup memilih Anwar dan merasakan pemimpin
seperti Teresa Kok sebagai lebih baik dari Chew Mei Fun, maka jelaslah bahawa
mereka tidak lagi rasional dalam membuat keputusan dan sebaliknya lebih
cenderung bertindak atas dasar emosi dan perkauman.
No comments:
Post a Comment