Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional (MKPN) yang dipertanggungjawabkan untuk mencari pendekatan terbaik bagi menyatupadukan rakyat Malaysia nampaknya telah menjadi platform untuk menyebarkan fahaman liberal di negara ini. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan sikap dan pandangan MKPN seringkali berat sebelah dalam menangani isu-isu berbangkit yang melibatkan kaum dan agama.
Pendirian songsang MKPN paling jelas terbukti dalam Dialog Perpaduan, yang diadakan pada 22 Februari 2014, di DBP Kuala Lumpur yang mana YB Tan Sri Joseph Kurup, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan agar kategori ‘bangsa’ dihapuskan dalam borang-borang rasmi.
Antara yang dibangkitkan oleh para peserta yang rata-ratanya dari ASLI, COMANGO, KRYSS, KOMAS, Jemaat Ahmadiyah Sabah, QADIANI yang mana sebahagiannya turut menganggotai COMANGO, ialah berkenaan penerimaan terhadap golongan songsang, menolak hak mana-mana kaum untuk mengaku sebagai penduduk asal, hak untuk murtad dan juga saranan untuk mengiktiraf ajaran Syiah.
Secara dasarnya, saranan-saranan yang dikemukakan membawa kepada mesej: “UMNO membawa politik perkauman” dan “PERKASA adalah rasis dan ekstremis.”
Pelik sekali, kerana kedua pihak inilah yang sering menyeru perpaduan melalui sistem satu sekolah untuk semua manakala pihak penentang merekalah yang sering mendesak ke arah perpecahan total melalui sistem pendidikan.
Tahap pemikiran MKPN sebenarnya tiada beza dengan dengan ustaz dan pak lebai PAS yang jumud. Jika pak lebai PAS gemar memperlekeh orang yang tidak sependapat dengan mereka sebagai kafir, sesat dan jahil, maka MKPN pula gemar menuduh orang yang tidak sependapat dengan mereka sebagai kolot, bodoh dan rasis.
Sikap MKPN yang bongkak dengan pemikiran yang sempit dan sehala serta suka menghukum, mengherdik dan menghina orang yang bertentangan pendapat dengan mereka, tidak langsung membantu kerajaan untuk menyatupadukan rakyat. Sikap berat sebelah MKPN pula memperlihatkan unsur-unsur ‘anti-Melayu-Islam’ serta mengesahkan pendirian liberalis para penerajunya.
Amatlah malang jika kerajaan melihat suara MKPN sebagai suara rakyat Malaysia kerana majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai pandangan dan pendirian yang sama dengan MKPN.
MKPN hanya mewakili segelintir kecil kumpulan yang sempit pandangan serta tidak mampu menghargai atau memahami intipati budaya dan agama satu-satu bangsa. Tanpa kesedaran intelek mengenai budaya dan agama, maka MKPN sebenarnya tidak layak ditugaskan untuk menyatupadukan rakyat.
Perlu diingatkan bahawa perpaduan rakyat perlu berlandaskan identiti atau jati-diri yang kuat supaya masyarakat mampu berjalan di atas landasan yang sama, untuk menuju ke destinasi yang sama.
Rancangan Rekonsiliasi Nasional yang diumumkan Perdana Menteri semalam, menjauhkan lagi MKPN dari imej, impian mahupun realiti Malaysia dan rakyatnya.
Dalam pengumumannya mengenai rancangan ini, Perdana Menteri menyeru rakyat agar kembali kepada sikap hormat-menghormati dan tolak-ansur. Memetik kata-kata beliau, "Datuk nenek kita memahami semua ini dan mengamalkan budaya ini selama berdekad-dekad, namun kita pula nampaknya semakin melupakannya hari ini”.
Justeru, kita ingin bertanya MKPN, apakah pihak MKPN mampu mengambil pendekatan tolak ansur melalui hak bumiputera ditukar dengan hak untuk sekolah vernakular?
Mampukah pihak MKPN menyeru semua pihak menghormati agama dan budaya orang-orang Melayu?
Mahukah MKPN membawa semangat datuk nenek moyang kita yang berpegang kuat kepada formula yang digarap dalam Kontrak Sosial?
Mahukah MKPN menerima hakikat dan fakta mengenai penduduk asal serta proses asimilasi pendatang di sesebuah negara?
Kenapakah Malaysia tidak boleh membentuk identiti sendiri tanpa meniru dan menciplak acuan dan cara hidup barat?
Dan, mampukah MKPN berfikir secara mendalam mengenai perkara yang ‘berat’ dan ilmiah serta melepasi sempadan fizikal dan material iaitu budaya, sejarah, agama dan proses pembentukan jati diri dalam pembinaan bangsa dan negara?
Kita pasti, MKPN tidak mampu berfikir sejauh itu kerana bagi para peneraju MKPN, ‘barat’ adalah tempat yang paling jauh dan paling tinggi serta paling hebat yang wujud dalam dunia ini. Oleh itu, segala ilmu adalah terhenti di barat, iaitu titik maksima bagi akal mereka.
Justeru, inilah ditegaskan bahawa MKPN telah gagal dalam memahami tugas, jauh sekali menjalankan tugasnya untuk menyatupadukan rakyat. Malah terbukti kini, MKPN bertindak sebagai sebahagian dari agen yang mengasak rakyat untuk bersikap biadap dan prejudis sesama sendiri.
MKPN tidak akan mampu membawa rakyat ke mana-mana dengan asyik memaksa dan cuba ‘menyeret’ rakyat agar mengikut gaya dan cara hidup dan pemikiran segelintir liberalis.
Sebagai penyokong demokrasi tegar, MKPN seharusnya tahu bahawa majoriti yang menentukan hala tuju sesebuah negara demokrasi, bukan minoriti, dan tentu sekali bukan segelintir manusia dari kaum Luth A.S.
Jika MKPN ingin terus membawa sikap dan pendekatan yang sama, maka adalah lebih baik ia dibubarkan saja. Biarkan para penerajunya bergerak atas platform NGO pejuang liberalis dan penentang Islam/Melayu secara nyata.
No comments:
Post a Comment