Home » » Pemilihan UMNO Kelana Jaya ; "Menipu Membawa Rebah Di PRU14"

Pemilihan UMNO Kelana Jaya ; "Menipu Membawa Rebah Di PRU14"

Written By Unknown on 18/12/2013 | 9:00 am



Oleh Ir Hj Yusuf Sani ;

Dalam PRU13 yang lalu, BN N32 telah menerima kekalahan ke-2 berturut-turut apabila calonnya tewas dengan defisit yang melebar dari kekalahan PRU12. 


Ini bermakna sokongan rakyat kepada pembangkang semakin meningkat. Lanjutan dari keputusan itu, semua jentera BN khususnya UMNO Bahagian telah bertekad untuk menebus kekalahan dan berusaha lebih gigih untuk memastikan PRU14 akan memberi kemenangan kepada BN.


Namun demikian, harapan yang menggunung tinggi telah berkecai apabila berlaku kejadian yang tidak beretika dan memalukan pada pemilihan UMNO Bahagian 2013. Akibatnya, UMNO Bahagian telah robek dan peluang dan harapan untuk mengambil balik kerusi N32 tidak mungkin jadi kenyataan sebaliknya akan menjadi satu mimpi ngeri.


Kenyataan di atas bukan omong kosong tetapi berdasarkan semakan statistik sediada dan keberangkalian. Umum mengetahui, jumlah pengundi dalam N32 pada PRU13 ialah seramai 39,548 orang dan pengundi Melayu seramai 20,415 orang atau 51.6%. 

Ahli UMNO Bahagian di N32 pula adalah seramai 11,106 orang pada akhir Disember 2012. Dari jumlah ini, terdapat ahli yang tidak mengundi di N32, ada yang menukar selera pada hari mengundi, dan ada juga yang tidak keluar mengundi pada PRU13 kerana tidak menyokong calon. 

Jika diambil semua faktor di atas dan diandaikan hanya 80% yang mengundi dan menyokong BN, sokongan BN dari dalam parti hanya menyumbang sebanyak 8,885 undi sahaja (80% x 11,106). Dari keputusan PRU13, calon BN mendapat 14,029 undi, kalah dengan defisit sebanyak 4,563 undi. Jika ahli UMNO menyumbang 8,885 undi atau 63.3% bermakna orang di luar UMNO hanya menyumbang 5,144 undi atau 36.7%. Statistik ini menunjukkan undi daripada ahli UMNO merupakan tiang kekuatan BN. Jika sokongan ini tergugat maka sokongan kepada BN juga akan terjejas.


Pada pemilihan UMNO Bahagian yang baru selesai, sokongan kepada kumpulan yang menang adalah sekadar 53%. 

Ini bermakna sekiranya 47% ahli dari kumpulan yang tidak setuju dengan keputusan menjauhkan diri dari mengundi pada PRU14 bermakna sekurang-kurangnya sokongan kepada BN di N32 akan merosot sebanyak 5,220 orang (47% x 11,106). 

Dengan defisit pada PRU13 sebanyak 4,563 undi dan jika ditambah dengan undi protes sebanyak 5,220 undi, sokongan kepada BN N32 boleh menjadi lebih parah dengan defisit melebar kepada sekurang-kurangnya 9,783 undi atau lebih.


Senario di atas tidak mustahil kerana pada PRU13, jumlah pengundi bukan Melayu telah keluar dengan peratusan yang melebehi pengundi Melayu, 75% berbanding 70%. 

Peratusan ini dijangka akan meningkat pada PRU14 kerana azam mereka untuk menumbangkan BN masih menebal dan membara. Dengan kemelut dalaman UMNO di N32, masa depan BN di N32 adalah gelap walaupun usaha seperti dibawah dilakukan.


1. UMNO Menambah Pengundi

Gerakan menambah pengundi baru atau memindahkan pengundi bukan satu kerja yang mudah. Pada PRU13, UMNO Bahagian hanya berjaya menambah lebih kurang 2,200 pengundi sahaja. Gerakan ini berjaya kerana Pergerakan Wanita mempunyai kerjasama yang baik dengan Bahagian tetapi kerjasama itu sudah banyak berubah kerana sikap otokratik kepimpinan baru.


N32 adalah kawasan lama dan penambahan pengundi agak perlahan. Pada PRU12, jumlah pengundi ialah seramai 35,079 berbanding pada PRU13 seramai 39,548 orang peningkatan sebanyak 12.7%. Di antara PRU11 hingga PRU12 pula menunjukkan peningkatan pengundi sebanyak 11.5%. Jika trend ini berterusan, dijangka pada PRU14, jumlah pengundi dianggarkan sebanyak 45,000 orang.


Jika dianggarkan hanya 50% pengundi baru menyokong BN, jumlah ini (2,500 orang) tidak mampu menggugat sokongan parti lawan mengikut sokongan yang lepas.


2. Kakitangan Kerajaan Di Perumahan Kastam Dan Polis Tukar Tempat Mengundi

Perkara ini telah diusahakan dulu tetapi tidak berjaya. Di Malaysia tidak ada undang-undang yang mensabitkan kesalahan tidak keluar mengundi dan tidak menjadi kesalahan mengundi di tempat asal walaupun sudah berpindah ke alamat baru. Oleh itu, usaha ini tidak dapat memberi kesan tambahan kepada sokongan BN di N32 pada PRU14.


Kesimpulannya, apa lagi kekuatan yang ada pada BN N32 sekiranya kekuatan dalaman sudah hilang. Hanya UMNO sahaja penyelamat BN kerana kekuatan parti komponen sukar diukur. Jika dalam PRU13, Pengerusi UMNO Selangor adalah Presiden parti dan BN Selangor menerima kekalahan yang lagi teruk dari PRU12, maka tidak mustahil kekalahan yang sama dan lebih parah lagi akan diterima oleh BN negeri dengan masalah UMNO Bahagian khususnya di Kelana Jaya tidak diselesaikan dengan baik dan bijaksana.


Jika pucuk pimpinan parti masih sombong dan tidak prihatin dengan kelohan akar umbi, maka N32 berpotensi besar akan kekal menyumbang 1 kerusi kepada parti pembangkang pada PRK atau PRU14. Salah satu kesilapan besar (qubra) pucuk pimpinan pada PRU13 adalah tidak merujuk dan mendengar nasihat dari akar umbi walaupun di masa itu kata-kata pemimpin tahu semuanya sudah berakhir acap kali dilafazkan. 

Namun, keangkuhan pucuk pemimpin akan menyebabkan kesilapan berulang kembali. Jika ini berlaku, hanya pucuk pimpinan yang harus dipersalahkan kerana gagal menggunakan saluran perundingan untuk menyelesaikan masalah akar umbi. 

Suara akar umbi tidak meminta projek atau kedudukan tetapi hanya mahukan kelohan dan rintihan mereka didengari tidak lebih dari itu. Jika permintaan sekecil ini pun tidak dipedulikan mereka maka BN N32 sudah bersedia menempah maut sebelum ajal.

KRONOLOGI Kes Dakwaan Penipuan Terancang UMNO Kelana Jaya ada d SINI
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger