SELAYANG – Bapa seorang pelajar tingkatan 2 membuat laporan polis selepas mendakwa anaknya diliwat sebanyak tiga kali oleh kenalan barunya di tiga lokasi berbeza di Kepong sejak Ogos lalu.
Bapa yang mahu dikenali sebagai Ng, 53, berkata, kejadian hanya diketahui Oktober lalu selepas anak lelakinya mengadu mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar.
Menurutnya, pihak hospital memaklumkan perlu membuat laporan polis sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan.
“Anak saya takut memaklumkan kejadian kerana telah diberikan amaran dan menerima ugutan akan dicederakan menyebabkan perkara itu hanya didiamkan.
“Bagaimanapun dia mengadu mengalami pendarahan sewaktu membuang air besar menyebabkan saya dan isteri membawanya untuk pemeriksaan dan ketika itu barulah kami mengetahui isu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, suspek sehingga kini belum ditahan dan anaknya hampir tiga minggu tidak ke sekolah kerana bimbang keselamatan diri kerana dipercayai suspek berlindung di sebalik kumpulan gengster.
“Anak berkenalan dengan suspek di kawasan menunggu di sekolah dan memperkenalkan diri dari persatuan wusyu ingin membantunya menjadi kuat kerana anak saya dari kecil menghidap kencing manis serta bergantung dengan ubat-ubatan.
“Suspek berusia 20-an dan yakin ramai mangsa yang tertipu dengannya serta membuat gangguan seksual di sebalik persatuan wushu,” katanya.
Katanya, dia berharap pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan supaya suspek dikenakan tindakan sewajarnya.
Sementara itu, Pengerusi MCA cawangan Selayang Jaya, Jessie Ooi meminta supaya pihak sekolah lebih tegas melarang pihak luar yang tiada urusan daripada masuk ke kawasan sekolah.
“Pihak sekolah juga diminta untuk mengawal keselamatan pelajar-pelajar termasuk memantau anak-anak yang tiba awal ke sekolah dan pulang lewat.
“Kejadian berlaku sewaktu mangsa tiba awal ke sekolah dan didatangi suspek iaitu orang luar yang menawarkan latihan wushu secara percuma untuk tujuan pertahankan diri sebaliknya melakukan aktiviti tidak bermoral ke atas pelajar tersebut,” katanya. –Sinar Harian Online
Wushu tengkorok dia
ReplyDelete