Individu yang menggunakan nama profil Ze Aida itu hadir sendiri ke restoran berkenaan dengan ditemani abangnya untuk bertemu dengan Pengurus premis makanan tersebut, Ahmad Fazli Mohammed dan Pengarahnya, Ahamed Azlan Shah Saiful Jaafar Sadik bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Wanita berusia 24 tahun itu berkata, dia tidak berniat untuk menghina restoran berkenaan dan segala-galanya berlaku secara tidak sengaja.
“Kontroversi timbul apabila saya menyalin semula status ditulis seorang individu di Facebook miliknya mengenai keburukan restoran ini.
“Status Facebook saya hanya boleh dibaca sebilangan kecil individu sahaja, namun ada pihak tidak bertanggungjawab mencetak paparan skrin (screen shot) status saya dan menyebarkannya secara meluas melalui telefon dan internet,” katanya.
Ze Aida berkata, dia membuat telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam bagi menyangkal tuduhan disebarkan sebelum ini serta meminta pihak yang menyimpan salinan paparan skrin tersebut memadamkannya supaya ia tidak disalah tafsir.
Katanya, bagi memenuhi permintaan pengurusan Restoran Nasi Vanggey, dia memohon maaf secara terbuka di atas kesilapannya itu dan menyatakan amat menyesali tindakannya membuat tuduhan tanpa asas dan kebenaran.
“Saya juga berharap perkara ini menjadi iktibar kepada semua pengguna laman sosial agar lebih berhati-hati apabila meletakkan sesuatu status supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fazli menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terdapat najis dalam peti simpanan makanan restoran berkenaan.
Katanya, penyebaran berita palsu di Facebook yang memburuk-burukkan restoran popular itu menjejaskan perniagaan mereka sehingga 60 peratus.
“Kami berharap melalui penjelasan dan pengakuan dibuat oleh wanita terbabit akan dapat memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap pengurusan makanan restoran ini,” katanya yang turut mempunyai 10 cawangan tersebut termasuk sebuah cawangan di Kuala Selangor manakala dua lagi sedang dalam proses operasi di negeri ini.
Menurutnya, restoran berkenaan tiada kaitan dengan penutupan Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom Khamis lalu.
Beliau berkata, serbuan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) itu bukan sahaja membabitkan satu restoran malah melibatkan 12 restoran lain di sekitar bandar raya ini.
No comments:
Post a Comment