Dalam kemeriahan Pemilihan UMNO yang bakal menjelang, pertandingan
bagi jawatan Ketua Puteri UMNO dilihat tidak sehangat pertandingan bagi
jawatan-jawatan lain, selaras dengan personaliti calon-calonnya yang tidak
kontroversi. Tidak
timbul soal ‘berebut’ atau ‘berdrama’ tetapi hanya satu pertandingan yang
matang antara bakal pemimpin masa depan.
Pertandingan dua penjuru yang memperlihatkan ketertiban
puteri-puteri UMNO ini, wajar dipuji dan dicontohi. Dua calon tersebut ialah Mas
Ermiyanti Shamsudin dan juga Jamilah Hanim Othman.
Mas Ermiyanti dilihat mempunyai kelebihan besar berbanding
lawannya memandangkan pengalamannya selama 12 tahun bersama Puteri. Kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen
Masjid Tanah turut memainkan peranan besar dalam melebar dan memperkukuhkan
pengaruhnya. Dengan
pengalaman dan kedudukan tersebut, beliau tidak perlu lagi membuktikan sifat
kepimpinannya kepada sesiapa.
Sebagai ‘orang lama’ juga, Mas turut mempunyai jaringan hubungan
yang baik di berbagai peringkat termasuk wakil-wakil rakyat. Ini tentu
saja meletakkan kedudukan Mas lebih jauh di atas berbanding lawannya.
Apatah lagi dengan hakikat bahawa lawannya, iaitu Jamilah Hanim
Othman merupakan personaliti yang belum dikenali ramai. Jamilah adalah Ketua Puteri UMNO
Bahagian Petaling Jaya Selatan.
Jika Mas Ermiyanti berazam untuk memastikan Puteri terus relevan
dan dihargai dengan berbekalkan pengalaman, Jamilah pula membawa bekal semangat
yang kuat untuk memantapkan pergerakan itu.
Jelas, kedua-dua mereka bertanding atas tujuan yang murni demi
kesinambungan dan keteguhan pergerakan Puteri UMNO.
Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan, pengalaman adalah
sesuatu yang paling berharga dalam sesebuah kepimpinan. Semangat tanpa pengalaman mampu
membuatkan kita tersasar tanpa sebarang panduan.
Justeru, walaupun kita menghargai kedua-duanya, kita menjangkakan
Mas Ermiyanti akan menang mudah mengatasi Jamilah.
Jamilah pula wajar menjadikan pertandingan ini sebagai pengalaman
dan pendedahan yang berharga bagi mengatur langkah yang lebih yakin dalam
perjuangannya.
Post a Comment