Home » » Dua Beranak Miliki 5 Laras Senapang

Dua Beranak Miliki 5 Laras Senapang

Written By Unknown on 04/09/2013 | 6:00 pm


Seorang pelajar kolej dan bapanya ditahan kerana memiliki lima laras senapang angin disyaki buatan sendiri di rumah mereka di Kampung Tanjong Pari Siong, Baling.

Pelajar sebuah kolej swasta di Pulau Pinang berusia 20-an itu ditahan di pekan Baling kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, penahanan pelajar terbabit berikutan penemuan senjata tersebut di rumah bapanya di kampung itu kira-kira pukul 3.45 petang semalam.

Katanya, serbuan ke atas rumah itu berikutan maklumat awam berkaitan pemilikan senjata api.

"Serbuan yang dibuat sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling yang diketuai, Inspektor Abd. Aziz Mat Resof menemui senapang angin hasil buatan sendiri.

"Susulan serbuan itu dan penangkapan warga emas berusia lewat 50-an itu, pihaknya memberkas pelajar terbabit untuk membantu siasatan. Polis turut merampas komputer riba pelajar terbabit untuk siasatan,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Baling, Asisten Superitendan Nadzir Osman.

Difahamkan pelajar terbabit melakukan pratikal di sebuah farmasi di Baling dan senapang angin itu ditemui di bawah tangga sebuah rumah kampung tidak bernombor.

Menurut Nashir, pelajar terbabit disyaki mempelajari cara membuat senjata itu daripada laman web yang banyak terdapat di internet.

Katanya, warga emas itu yang ditahan reman sehingga Jumaat ini tidak memiliki sebarang rekod jenayah, namun siasatan masih dijalankan berikutan penemuan senjata api yang banyak di rumahnya.

Katanya, siasatan turut meliputi kemungkinan senjata itu untuk dijual, disewa atau digunakan untuk kegiatan jenayah.

"Senapang angin itu dipercayai dibuat sejak dua minggu lepas. Siasatan awal juga mendapati pelajar terbabit tiada kaitan dengan mana-mana sindiket, namun siasatan masih dijalankan'' katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan masyarakat menghindari dari melakukan perbuatan tersebut kerana bakal berdepan hukuman berat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. - UTUSAN
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger