
Malah kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu berlaku selepas lima hari dia menerima SMS daripada bekas suaminya yang mahu meminjam wang berjumlah RM20,000 untuk membayar ah long.
Mangsa, Irene Siew, 43, berkata, kejadian itu berlaku selepas beberapa minit dia dan dua anaknya berusia 15 dan 14 tahun pulang ke rumah selepas menonton wayang di Terminal 2.
“Kami anak beranak sedang bersiap sedia untuk masuk tidur. Ketika berada di ruang tamu rumah, tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti ada barang dicampak di luar rumah.
“Dari dalam saya lihat ada percikan cat merah di sebalik pintu menyebabkan saya mula mengesyaki ia angkara ah long. Saya tidak berani lihat apa yang berlaku di luar kerana bimbangkan keselamatan diri dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurutnya, dia segera menghubungi pengawal keselamatan taman perumahannya yang kemudian menghubungi polis. Kata Irene, dia mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik berisi cat berwarna merah dicampak ke dalam kawasan garaj rumahnya yang turut mengena pintu dan dinding rumah serta kereta Toyota Vios miliknya.
Menceritakan sebelum kejadian itu, Irene yang bekerja sebagai Ejen Hartanah berkata, Rabu minggu lalu bekas suaminya ada menghantar SMS memberitahu mahu meminjam wang berjumlah RM20,000 untuk membayar ah long. Malah bekas suaminya itu turut menyatakan rasa bimbang tentang keselamatannya dan anak-anak jika dicari ah long berikutan hutang berkenaan tidak dapat diselesaikan.
“Saya tidak layan kerana dia tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan saya. Lagipun saya tahu dia selalu mempunyai masalah kewangan dan ini bukan kali pertama dia mahu meminjam wang dengan saya.
“Tapi saya bimbangkan keselamatan diri dan anak-anak kerana dalam SMS itu, dia juga beritahu ah long tahu rumah saya dan di mana anak-anak saya bersekolah,” katanya yang telah membuat laporan polis berhubung SMS yang diterima. Kata Irene, dia mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan oleh ah long yang mencari bekas suaminya.
“Tolonglah, saya sudah tiada kaitan dengan bekas suami. Saya sendiri tidak pernah meminjam ah long, tapi kini saya pula jadi mangsa,” katanya.
- www.utaranews.com
Post a Comment