Home » » #MH370 : Pusat Bantuan Keluarga Mangsa Di Tutup

#MH370 : Pusat Bantuan Keluarga Mangsa Di Tutup

Written By Unknown on 02/05/2014 | 11:27 am

Malaysia Airlines (MAS) akan menutup Pusat Bantuan Keluarga di seluruh dunia menjelang 7 Mei dalam langkahnya untuk menyusun semula bentuk perkhidmatan dan sokongan yang diberi kepada anggota keluarga mangsa tragedi Penerbangan MH370.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Jauhari Yahya berkata langkah itu sejajar dengan komitmen MAS untuk terus memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

“Berdasarkan pengalaman lepas, kami dapati pencarian dan penyiasatan mengenainya akan merupakan suatu proses berlarutan.

“Daripada tinggal di hotel, keluarga mangsa tragedi MH370 dinasihati mendapatkan maklumat tentang perkembangan terkini berhubung pencarian dan penyiasatan serta sokongan lain daripada MAS dalam keadaan selesa di rumah masing-masing, dengan mendapat sokongan serta penjagaan daripada keluarga serta rakan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MAS menubuhkan Pusat Bantuan Keluarga sebagai tempat utama bagi semua aktiviti yang dirancang untuk keluarga penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370, termasuk taklimat dan kegiatan keagamaan.

Ahmad Jauhari berkata MAS akan sentiasa berhubung rapat dengan keluarga terbabit untuk menyampaikan perkembangan terkini melalui telefon, mesej, Internet dan perjumpaan.

Kata beliau Pusat Sokongan Keluarga akan diwujudkan di Kuala Lumpur dan Beijing, manakala pelan terperinci tentang sokongan dan perkhidmatan susulan akan dimaklumkan secara peribadi kepada keluarga terbabit.

Beliau juga berkata MAS akan menjelaskan bayaran pampasan pendahuluan dengan secepat mungkin kepada waris yang berhak menerimanya bagi memenuhi keperluan kewangan mereka.

Menurut beliau bayaran itu tidak akan menjejaskan hak para waris untuk menuntut pampasan berdasarkan undang-undang kemudian nanti dan bayaran ini akan diambil kira sebagai sebahagian daripada keseluruhan pampasan yang layak mereka terima.

“Apabila waris pulang ke rumah masing-masing, wakil kami akan menghubungi mereka dengan secepat mungkin untuk memulakan proses pembayaran pampasan pendahuluan ini,” katanya.

Usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER itu kini memasuki bulan kedua sejak kehilangannya pada 8 Mac.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. Usaha mencarinya kini diteruskan.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, yang juga pengerusi jawatankuasa waris, berkata bagi pihak kerajaan Malaysia, beliau menyokong dan mengesahkan keputusan MAS itu.

Beliau menyuarakan keyakinannya terhadap komitmen MAS untuk meneruskan bantuan kepada keluarga penumpang dan kru pesawat MH370.

Katanya kerajaan Malaysia akan memastikan bahawa MAS sentiasa berhubung rapat dengan keluarga mereka yang terbabit menerusi Pusat Bantuan Keluarga syarikat penerbangan itu, yang akan diwujudkan segera di Kuala Lumpur dan Beijing.

Hamzah berkata selepas berminggu-minggu menjalankan pencarian secara intensif, melibatkan penyertaan 26 negara yang mengesan di darat, laut dan udara sejak 55 hari lepas, “kami masih meneruskan operasi pencarian ini.”

“Ini adalah masa yang amat sukar bagi keluarga dan sahabat penumpang serta kru pesawat MH370, dan saya berasa empati dengan penderitaan yang ditanggung mereka.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa kami melakukan segala-galanya yang termampu bagi memastikan kepentingan kaum keluarga ini sentiasa terpelihara,” katanya.

– BERNAMA

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger