Home » » Ahli Parlimen Pkr Tidak Puashati Larangan Letak Bible Di Hotel

Ahli Parlimen Pkr Tidak Puashati Larangan Letak Bible Di Hotel

Written By Unknown on 25/04/2014 | 4:28 pm

KUANTAN – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh membidas pihak berkuasa agama Pahang yang didakwa melebihi bidang kuasa dan melanggar asas hak kebebasan beragama berikutan tindakan badan itu yang melarang bahan agama bukan Islam diletakkan dalam bilik hotel di negeri berkenaan.

Fuziah berkata, walaupun Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) berasa tindakan itu termasuk dalam bidang kuasanya, pihak berkuasa agama patut memberi fokus kepada isu lebih serius termasuk mencegah rasuah dan judi melalui Internet yang berleluasa sehingga boleh memusnahkan keluarga hatta nyawa.

Bagi beliau, keimanan orang Islam tidaklah sebegitu lemah sehingga ia boleh tergugat hanya kerana Bible Melayu atau buku agama bukan Islam diletakkan di dalam bilik hotel.

“Tetapi jika ada bukti Muslim dengan mudah boleh digugat akidahnya hanya dengan membaca Bible Melayu, Muip perlu dipersalahkan kerana gagal mendidik, memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang Islam,” katanya.

Awal Mac lalu, Muip telah mengedarkan surat berkenaan larangan tersebut kepada 147 hotel di seluruh Pahang.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata surat tentang perkara itu telah diedar sejak 6 Mac dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang

“Surat larangan itu dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 bagi negeri Pahang selaras dengan perkara 11(4) Pelembagaan Persekutuan.

“Dengan itu sesiapa sahaja orang bukan Islam atau pihak pengurusan hotel adalah dilarang meletakkan kitab Bible, sebarang bahan atau dokumen berkaitan agama bukan Islam di ruang bacaan awam khususnya di bilik penginapan dan sekiranya telah ada, maka ia hendaklah dikeluarkan segera,”petik kata beliau dalam satu kenyataan, sebelum ini.

Larangan yang dibuat oleh Muip disifatkan sebagai larangan pertama seumpama itu yang melibatkan hotel.

Larangan ini adalah yang terkini melibatkan isu agama di negara ini. Januari lalu, pihak berkuasa agama Selangor merampas lebih 300 buah Bible Bahasa Melayu dan Iban dari premis Pertubuhan Bible Malaysia, dengan mendakwa ia melanggar enakmen negeri.

Mengulas lanjut kata Fuziah, pihak berkuasa agama lebih seimbang dalam pendekatannya dengan memperkukuhkan pendidikan Islam termasuk memasukkan unsur-unsur nilai murni dan menghalang kejahatan.

“Islam mengajar amar ma’ruf dan nahi munkar, iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan.

“Jadi daripada mencegah apa yang mereka sifatkan keburukan, mereka juga perlu mengajak kepada kebaikan,” katanya. – Antarapos.com

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger