Home » » Pemilihan Pas Ke-59 ; Hanya 1,230 Perwakilan Yang Boleh Pilih Pemimpin ?!!

Pemilihan Pas Ke-59 ; Hanya 1,230 Perwakilan Yang Boleh Pilih Pemimpin ?!!

Written By Unknown on 10/11/2013 | 6:00 pm



Muktamar Pas Ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor yang bermula pada 22 November ini dilihat bakal menjadi medan pertempuran sengit antara golongan ulama dan Anwarinas untuk mendominasi barisan kepemimpinan parti.

Gelanggang perebutan jawatan Timbalan Presiden pasti mendapat tumpuan apabila menyaksikan pertemuan satu lawan satu antara tokoh-tokoh dari dua kumpulan terbabit.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mewakili kepemimpinan ulama disahkan akan mencabar Mohamad Sabu yang menyandang jawatan itu sejak 2011.

Difahamkan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bakal menempuh laluan sukar untuk mempertahankan jawatannya berdasarkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang mahu perwakilan parti memilih golongan ulama.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengekalkan jawatan yang disandang sejak 2002 setelah diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Persaingan antara golongan ulama dan Anwarinas bagi jawatan Naib Presiden juga tidak kurang hebatnya apabila tiga penyandangnya, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub dicabar oleh Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Husam, Mahfuz dan Salahuddin dikatakan berada dalam kumpulan Anwarinas manakala Tuan Ibrahim serta Abu Bakar mewakili kepemimpinan ulama.

Bagi jawatan AJK Pas Pusat, seramai 61 calon termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan; Timbalannya, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz dan Setiausaha Dewan Ulama Pas, Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali disahkan akan bertanding bagi merebut 18 tempat.

Sementara itu, kesemua 17 calon bagi jawatan-jawatan penting dalam Dewan Ulama Pas kecuali Timbalan Pengerusi Tetap diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Datuk Harun Taib kekal sebagai Ketua Dewan Ulama Pas dan beliau sekali lagi akan bergandingan dengan Timbalannya, Datuk Ahmad Yakob serta Naibnya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.

Pengisian bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap sayap berkenaan akan diumumkan ketika muktamar.

Tiga calon iaitu Kamarulzaman Muhammad, Suhaizan Kaiat dan Zulhazmi Sharif akan bertarung untuk jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas yang terbuka kepada muka baharu setelah tidak dipertahankan oleh Nasrudin.

Anak Abdul Hadi, Mohd. Khalil bakal berdepan dengan Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob dalam persaingan jawatan timbalan ketua sayap tersebut manakala jawatan naib ketua ditandingi oleh Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi dan Mohd. Khairul Nizam Khairuddin.

Seramai 26 calon akan bertanding untuk mengisi 12 jawatan AJK Dewan Pemuda Pas.

Bagi Dewan Muslimat Pas, penyandang tiga jawatan tertinggi sayap berkenaan iaitu Siti Zailah Mohd. Yusof (Ketua), Dr. Siti Mariah Mahmud (Timbalan) dan Mumtaz Mohd. Nawi (Naib Ketua) terpaksa bertanding untuk mempertahankan kedudukan masing-masing.

Nuridah Salleh bertanding merebut jawatan Ketua Dewan Muslimat manakala Dr. Najihatussalehah Ahmad dan Dr. Rosni Adam masing-masing mencuba nasib bagi jawatan Timbalan Ketua serta Naib Ketua.

Pertandingan mengisi 12 jawatan AJK Dewan Muslimat Pas akan disertai seramai 23 calon.

Senarai penuh calon yang bertanding diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Asmuni Awi dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Takiyuddin Hassan di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Kira-kira 1,230 perwakilan Pas akan memilih barisan kepemimpinan parti bagi penggal 2013-2015 pada muktamar kali ini.


Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AZMY KELANA JAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger